Wednesday, December 12, 2007,3:43 PM
Pengorbanan Dua Puluh Tahun Sengsara Dua Tahun
Sewaktu Dina menerima berita tentang Puan Hafsah ini, Dina sungguh terharu dan kalau dulu-dulu pasti menitis airmata. Namun sejak beberapa tahun yang lalu, berita-berita sedih sebegini masih sukar untuk membuatkan airmata ini bergenang. Entahlah, sudah habis stok agaknya.

Hari ini cerita yang ingin Dina bawakan agak sedih - memang akan sedih bunyinya. Kisah seorang ibu yang mempunyai lapan orang cahayamata. Tambahan- seorang suami. Dina pernah bertemu dengan Puan Hafsah hampir tiga tahun yang lalu dan kalau tak silap Dina, semasa itu dia datang berhari raya ke rumah abang Dina. Kami bersalaman tapi tidak banyak berbual-bual. Dina leka memerhatikan anak-anak Puan Hafsah yang ramai dan comel-comel belaka.

Apa pandangan Dina pertama kali bertemunya? Pastinya Dina mengagumi ketelitian Puan Hafsah menyiapkan anak-anaknya yang ramai itu. Biarpun anaknya bukan sedikit tetapi semuanya berpakaian kemas dan menarik di pandang mata. Semua anak-anak Puan Hafsah sopan dan tahu menjaga tata tertib di rumah orang. Puan Hafsah pula, biarpun berbadan agak gempal tapi memiliki kecantikan asli yang tersendiri. Untung sungguh suaminya kerana mempunyai anak yang ramai dan isteri yang tahu menghias diri.


Itu dulu- dua tiga tahun dulu. Ketika itu anaknya yang kecil berumur satu tahun. Hampir tujuh bulan selepas pertemuan itu, Dina dikejutkan dengan berita Puan Hafsah menghidapi barah payudara. Seluruh keluarga kami terkejut apatah lagi kami diberitahu keadaannya agak membimbangkan. Apa yang terdetik di hati kami ketika itu, bagaimana Puan Hafsah hendak mengharungi semua ini, sedangkan dia baru melahirkan anak ke lapannya?!


Sejak hari itu, banyak berita tentang Puan Hafsah yang Dina dengari. Antaranya, dia kerap melalui kemoterapi jadi anaknya yang baru berusia empat atau lima bulan terpaksa dijaga oleh orang lain yang diupah secara bulanan dan anak-anak Puan Hafsah yang tujuh orang lagi tidak terurus lagi seperti dulu. Puan Hafsah juga dikatakan menghadapi tekanan perasaan lantaran sukar menerima hakikat yang menimpa dirinya serta rambut-rambutnya banyak gugur akibat rawatan kemoterapi yang diberikan.


Sebagai seorang wanita dan juga ibu, Dina amat bersimpati dengan nasib Puan Hafsah. Apatah lagi bila mengenangkan anak-anaknya yang ramai. Hati Dina berasa sayu dan kalau ada kuasa magik, mahu saja Dina 'sembuh'kan penyakit Puan Hafsah. Tapi, apa boleh buat. Hendak beri kata-kata semangat pun Dina tak mampu. Maklumlah Dina jauh, dan Dina bukanlah rapat dengan Puan Hafsah. Hanya doa dan kata-kata dorongan kepada keluarga rapat Puan Hafsah ( yang juga keluarga Dina) agar sabar menghadapi ujian yang menimpa Puan Hafsah.


Itu setahun yang lalu. Kini, setelah beberapa lama tidak mengikuti perkembangan Puan Hasfah, Dina dikejutkan dengan berita yang amat memilukan. Puan Hafsah bukan saja disahkan mengidap barah payudara malah barah tulang pula. Khabar yang diberikan doktor, barah itu sudah mula menular ke otak. Tergamam Dina tatkala mendengar cerita dari keluarga rapat Puan Hafsah. Kenapa begitu getir dugaan hidup yang menimpa Puan Hafsah? Ya Allah, berikanlah Puan Hafsah kekuatan untuk menempuhi semua ini. Sembuhkanlah Puan Hafsah biarpun doktor berkata ' tak ada harapan'. Tak ada yang mustahil melainkan dengan izinMu Ya Tuhan.


Bak kata pepatah, 'sudah jatuh ditimpa tangga' maka begitulah keadaan Puan Hafsah. Anak kecilnya dipelihara orang lain, manakala anak-anaknya yang seramai tujuh orang itu dijaga suaminya. Sayang sekali, atau mungkin suaminya juga menghadapi tekanan maka entah mengapa, si suami sukar menghadapi ujian Allah ini dengan tabah. Bolehkah dikatakan berapa kerat sahaja lelaki zaman ini yang tabah? Atau memang ditakdirkan ramai wanita dilahirkan kuat semangat?


Apa yang Dina maklum, suami Puan Hafsah bagai melarikan diri atau menggelakkan diri dari berjumpa Puan Hafsah selalu dan jarang memberi kasih sayang atau sokongan moral kepada isterinya. Suaminya cuba menggelakkan diri dari bertemu Puan Hafsah di hospital. Puan Hafsah merasakan dirinya tidak disayangi dan serta tak mendapat sokongan dari suami yang pernah berkongsi hidup dengannya sehingga melahirkan lapan orang cahayamata. Selama hampir dua puluh dua tahun melayari hidup berumahtangga, inilah dia pancaran kesetiaan dan kasih sayang yang sejujurnya dari suami.


Saat isteri terlantar bertarung dengan kanser payudara dan kanser tulang, semasa badan yang dulunya berisi sudah tinggal tulang, saat mata yang dulunya bersinar cantik dengan alis mata yang lentik kini sudah terperesok ke dalam, kasih sayang suami semakin hari semakin tenggelam.


Mungkin banyak alasan yang boleh diberikan si suami mengapa dirinya cuba menggelak dari bertemu isterinya di hospital. Mungkin katanya, tidak sanggup menghadapi kesedihan yang mencengkam jiwa tatkala melihat si isteri yang lemah dan tak berdaya serta sudah bertukar rupa, mungkin juga kerana sibuk menguruskan tujuh cahayamata apatah lagi dengan beban kerja. Tapi sayang seribu kali sayang, jikalau inilah dikatakan kasih suami, kasihnya terlalu dangkal, terlalu cetek. Tidak layak lelaki ini memiliki seorang isteri yang telah melahirkan lapan zuriatnya di muka bumi.


Samada dia majistret, lawyer atau doktor, dia tak layak memiliki isteri setabah Puan Hafsah ( yang sedang bertarung dengan dugaan hebat di dunia fana'). Pastinya Puan Hafsah lagi tertekan berbanding dirinya kerana saban hari mengira detik masa bila ajalnya akan tiba, juga memikirkan anak kecilnya yang tidak dapat dipeliharanya apatah lagi merindui gelak tawa 7 anak-anaknya yang lain yang sebahagiannya sedang meningkat remaja serta merindui kasih suami yang hanya ada satu sahaja di dalam dunia. Apatah lagi ibu kandung Puan Hafsah sedang sakit tua dan tak boleh melawatnya di hospital


Buat Puan Hafsah, biarpun dirimu tidak kukenali secara rapat, tapi doaku untukmu agar Ilahi memberikan laluan mudah untukmu ke syurgaNya - jika inilah takdirmu di akhir usia, dan seboleh -bolehnya aku berharap kau akan sihat, segar dan menjadi Puan Hafsah yang pernah aku temui tiga tahun yang lalu di Aidilfitri.


Kadang-kadang diri terasa lemah tapi perlu cepat bangkit kerana ada wajah ceria yang membuatkan kita terasa dunia ini lebih bermakna dengannya.....Thaqif Bin Nabil.




Kadang kala terasa diri tidak kuat tapi cepat-cepat memohon pertolongan-Nya kerana ada gelak ketawa yang menyebabkan semangat kita menjadi setinggi angkasa.....Mulhim Bin Nabil.




...

 
posted by Miss Nukleas
Permalink ¤ 4 comments
Thursday, December 06, 2007,9:46 PM
Warkah Dari Isteri Yang Tertekan...
Buat Isteri Berkerja Yang Mempunyai Suami Yang Tak Memahami Asyik Menyuruh Itu Ini Dengan Memberi Alasan Isteri Kalau Rajin Dapat Pahala Nanti...Sedangkan Mereka Asyik Tengok TV........Wahai Isteri Berikan Mereka Serangkap Puisi



Ujar lelaki, wanita itu lemah
Ujar wanita, mereka adalah lembut
Antara lemah dan lembut.....besarnya perbezaan
Namun ada yang tidak rela mengakuinya
Telah ditakdirkan ...kerana lembut wanita
Tidak gemar perbalahan.. Kecuali jika terpaksa
Lalu wanita pun diam
Diam seolah-olah menerima...
Dalam diam, wanita gigih melaksanakan kewajipan
Dalam diam ,wanita terus terusan bekerja
Di pejabat sebagai kerani...di rumah sebagai suri
Dari sebelum tercalit garis putih di subuh Hari
Hingga jarum jam tegak bertindih jari









Lelaki yang mengaku kuat .celik mata sarapan sudah terhidang
Apabila pulang dari pejabat...di kerusi malas longlai terlentang
Isteri dikatakan lemah...bergelut di dapur memasak
Suami yang mengaku gagah...
Bersantai di hadapan TV tidak bergerak
Selesai memasak wanita menguruskan anak-anak
Menyapu sampah,mengemas rumah yang berselerak
Lelaki keletihan kerana memandu di jalan sesak
Berehat,menonton TV sambil tergelak




Dalam diam wanita dianggap lemah...
Terus berlumba dengan masa
Memandikan anak, melipat pakaian dan membasuh baju
Kakitangan semua digerakkan dengan laju
Menyiram pohon-pohon bunga yang mulai layu
Sebelum solat Magrib untuk sujud...
Menyembah yang Satu
Makanan dihidang selepas solat
Selesai kerja rumah,anak-anak diajar mengaji
Sedang suami tersadar semula seperti tadi
Sebagai isteri kesetiaan wanita sentiasa diuji

Dalam diam semua tugas rumah segera dibereskan
Lelaki terpelajar celik hati...

Ingin menghapuskan diskriminasi
Lantang membela nasib wanita....
Memberi kesedaran supaya segera bangkit
Meminta lelaki jangan lagi memperlakukan wanita mengikut adat tradisi
Kerana dulunya wanita hanya menjadi suri.

Hukum agama telah termaktub
Tugas suami jangan cuba ditutup
Membasuh pakaian,menyediakan makanan
Jika suami tidak terdaya melakukan
Seorang pembantu wajar disediakan
Lelaki yang hanyut dalam keasyikan
Tidak mampu menerima perubahan
Rela bertahan bagaimana jua
Asalkan cara hidup tradisi terus dinikmati

Dalam diam
Wanita yang sering dianggap lemah
Meneruskan hidup dalam segala kekuatan

'KeKaYaaN YaNg PaLiNg KaYa iaLaH AKAL,
KeMiSkiNaN YaNg PaLiNg BeSaR iaLaH JAHIL,
KeBuRuKaN YaNg PaLiNg HoDoH iaLaH SESAT'



Tak perlu mencari teman secantik BALQIS,
Jika diri tak seindah SULAIMAN,
Mengapa mengharap teman setampan YUSUF,
Jika kasih tak setulus ZULAIKHA,
Tak perlu diri menjadi seteguh IBRAHIM,
Jika tak sekuat SARAH,
Mengapa didamba teman hidup seistimewa KHADIJAH,
Jika diri tak sesempurna RASULULLAH S.A.W,

Tak guna Ada MATA kalau tak dapat MELIHAT,
Tak guna Ada HATI kalau tak tau MENILAI......

Dina: Buat lelaki yang bersikap seperti ini, anda hanya meneruskan tradisi agar anak-anak perempuan anda juga akan dibuat seperti hamba abdi. Beruntunglah jika memiliki suami yang menghargai wanita, yang menyayangi anda seikhlas hati bukan mengambil kesempatan dengan memomokkan telinga tentang pahala dan dosa. Wanita bijak tak mudah diperdaya dan wanita beriman akan berjuang bersama-sama suaminya hingga akhir usia demi kejayaan keluarga.Terima kasih kepada suamiku yang menghargai diri ini. Juga Kak Ain yang memberi puisi ini, siapa penulisnya ya?? Saya minta izin menempelnya dalam blog saya.
 
posted by Miss Nukleas
Permalink ¤ 4 comments
Wednesday, December 05, 2007,7:04 PM
'Seteguh Kasih Aina Najihah' Selesai



Apa lagi yang paling menggembirakan seorang penulis novel. Jawapannya adalah karya yang diusahakan berbulan-bulan akhirnya telah siap dihasilkan. Seperti orang yang baru disahkan mengandung setelah menunggu bertahun lama, maka begitulah bahagianya perasaan ini.

Namun seperti juga orang yang disahkan mengandung, saat-saat mengetahui jantina anak juga satu episod yang mendebarkan. Begitu juga dengan saat-saat kelahiran.

Maka seperti itulah berdegup kencangnya perasaan penulis apabila menanti saat buku dicetak dan dipasarkan. Mudah-mudahan penerbit dapat melaksanakannya dengan lancar. Dan, episod seterusnya juga tidak kurang menggetarkan sanubari. Sebagai penulis sudah pasti ingin tahun reaksi pembaca terhadap karya terbarunya.

Seperti juga anak, ramai yang nak tahu anak yang baru lahir ini ikut muka siapa, dah pandai buat apa?

Walau apa pun, Dina cuba berusaha yang terbaik untuk memberikan buah tangan yang terbaik. Kali ini Dina mementingkan ketepatan maklumat dalam novel serta jalan cerita yang kuat. Mudah-mudahan ia tidak mengecewakan. Setelah berusaha dan berdoa. Akhir sekali bertawakkal.





Oleh yang demikian terimalah ................


Sebuah kisah perjuangan

Sebuah cinta yang menuntut pengorbanan

Sebuah masa silam yang terpaksa dibongkar......

Bersama menyelusuri derita

Mengesat titis airmata

Seorang AINA NAJIHAH

Dalam .................'Seteguh Kasih Aina Najihah'


Bakal Berada Di Pasaran Pada 2008.
 
posted by Miss Nukleas
Permalink ¤ 4 comments