Sunday, July 29, 2007,10:09 PM
CINTA Oh CINTA
Bila seringkali membaca kisah cinta, kisah jiwa lara dan harapan serta erti kecewa, lebih-lebih lagi dalam beberapa blog , Dina teringin sekali membicarakan soal ini buat pertama kalinya. Mungkin untuk kali ini sahaja. Entahlah, ada sesuatu yang menyebabkan Dina terpanggil hendak menulisnya.

Kepada para pelayar blog, lontarkanlah soalan berikut, siapa insan yang tidak mahu bercinta? Tanyakan soalan itu pada makhluk yang bernama manusia, sudah tentu orang yang tidak mengangkat tangan itu sama ada dia tuli kalau tidak pun, gila.Mungkin kalau tak tuli atau gila pula, adalah kelompok yang pernah jadi korban cinta. Yang tak sanggup mengulang erti kecewa dan sengsara bila impian cinta tidak kesampaian.

Bercinta, memendam perasaan, saling merindui, menanti saat-saat bersua muka dan menunggu gemersik suara insan yang tersayang merupakan detik-detik yang memacu gelombang perasaan nan indah bagi sesiapa yang pernah melaluinya. Tidak kira sama ada dia remaja, mahupun dewasa atau mereka yang di usia emas, tahap-tahap perasaan dalam bercinta itu tetap sama. Cuma ada sesuatu yang membezakan pukulan nafas cinta setiap dari kita iaitu cara menggemudikannya.

Hebat gelombang perasaan penangan cinta, sehingga ada yang sanggup berkorban apa sahaja agar hati si dia mampu kita takluki. Dan adakalanya, andai hati si dia tidak mampu kita takluki hebat juga tindak tanduk sesetengah dari kita. Ada yang menangani kekecewaan dengan melayan perasaan, tak kurang juga dengan menambah bilangan kawan, seesetengahnya mencari cinta baru yang sebenarnya hanya satu pelarian dan ada pula yang memendamnya sehingga sakit-sakit badan. Terkadang itu, ada juga yang sanggup berdendam dan berpawang-pawang sampai pakai ilmu pengasih. Nauzubillah.

Kecewa dan tersungkur dalam permainan hati ini adalah lumrah kehidupan. Bagi Dina sendiri, pengalaman sebegini kalau dihadapi dengan kekuatan iman dan kebijaksanaan ia mampu mematangkan diri serta menjadikan kita 'pemenang' dalam pertarungan jiwa yang dibelenggu derita pada awalnya.

Kata orang, lain padang lain belalang. Lain individu lain caranya.

Dalam urusan menghadapi kekecewaan ini, Dina kagum dengan seorang sahabat Dina yang berasal dari Kedah ini. Apa yang Dina saksikan sendiri, bekas kekasih sahabat Dina ini telah meninggalkannya untuk memilih gadis lain atas alasan sahabat Dina itu membosankan dan tidak boleh hendak 'itu dan ini' ( antaranya tak boleh diajak keluar jalan-jalan selalu spt. tengok wayang dan tak pandai menambat hati.). Tergelak Dina mendengar alasan bekas kekasih sahabat Dina itu. Bukan apa, kalau melihat dari perwatakan sahabat Dina itu ( bukan pakaian, kerana pakaiannya tidak mengambarkan kealimannya) mana mungkin sahabat Dina itu dalam lingkungan jenis wanita yang pandai bermain suara lunak manja dan bergurau senda dengan lelaki. Tambahan pula, sahabat Dina itu, memang seorang yang cukup menjaga perilaku diri. Jadi, kalau awal-awal lagi hendakkan sahabat Dina, kenalah terima personaliti sebegitu.

Alkisahnya, sahabat Dina teramatlah sedih dan tak sangka dirinya dibuat sebegitu rupa. Apatah lagi, bekas kekasihnya beberapa kali menayang kekasih barunya di hadapan sahabat Dina dan kawan-kawan kami. Sahabat Dina jadi sebak, tapi nak tak nak, dia terpaksa berusaha mengubat kepedihannya sendiri.

Tapi, sahabat Dina ini, memang kuat semangat. Walau macam-macam berita sampai kepadanya tentang kemesraan bekas kekasihnya dengan teman wanita barunya, sahabat Dina tidak mahu mengulas apa-apa.

Pernah Dina masuk ke bilik kerjanya, dan beberapa kali Dina ternampak dia kerap membaca Al Quran dan membaca Surah Yassin. Dari khabar yang diberitahu keluarganya, sahabat Dina itu mengambil masa berbulan-bulan untuk mengembalikan semangatnya. Yang menjadi penglipur kesedihannya adalah solat dan Al Quran.

Alhamdulillah, kini hampir tiga tahun berlalu, sahabat Dina telahpun bertemu dengan lelaki yang menjadi suaminya. Hidup mereka, nampaknya bahagia. Suaminya itu pula, lebih serba-serbi dari bekas kekasihnya.

Ada sekali Dina ajukan pertanyaan kepada sahabt Dina itu, " Nampaknya cinta kau dah berganti baru. Harap kali ini, inilah cinta yang abadi."

Jawabnya, " Cinta aku sudah berganti, tapi cinta abadi aku hanya untuk Yang Esa. Aku sudah belajar dari pengalaman cinta pertama, cintailah manusia itu kerana mencari cinta abadi, iaitu cinta pada Ilahi."

" Oh, ya ke?"

" Ya, aku tersilap dahulu kerana meletakkan hati aku sepenuhnya pada lelaki."

Sungguh kali ini sahabat Dina kelihatan yakin, tidak seperti tiga tahun lepas. Dina cuba mengorek sedikit rahsia darinya dalam gurauan," Humm, apa rasa ber'cinta' dengan Ilahi?"


" Lain Dina. Seandainya cinta Ilahi yang kita suburkan dalam hati, kita tak mungkin rasa terlalu takut atau bimbang untuk kehilangan cinta manusia, jadi Alhamdulillah, aku dapat ketenangan dan kekuatan yang selama ini aku inginkan."

" Aku gembira dengar kau cakap macam tu. Mudah-mudahan aku juga menemui cinta itu."

* Dina: Cinta itu ibarat bayang-bayang, semakin kita kejar semakin ia lari, tapi cinta itu akan jadi seperti pohon yang rendang, semakin kita jaga dengan cara yang betul, semakin ia subur dan menghijau, akhirnya kita juga yang dapat berteduh di bawahnya.


 
posted by Miss Nukleas
Permalink ¤ 2 comments
Saturday, July 28, 2007,8:39 AM

Petikan syair dalam E-Novel Terbaru: Seteguh Kasih Aina Najihah

Hidup ini bukanlah mudah,
Dari senang dirundung susah,
Tapi jangan engkau mengalah,
Ingatlah engkau kepada Allah.

Kalau diri tidaklah kuat,
Basahkan bibir zikir selawat,
Rasulullah ikutan ummat,
Sabar hadapi ujian berat.

Wahai anak untaian kasih,
Jiwamu itu haruslah bersih,
Dengki dan tamak hendak kau sisih,
Tentu Allah bertambah kasih.

Al Quran itu jadi panduan,
Namun ramai sudah lupakan,
Tapi engkau jangan ikutkan,
Kerana engkau hamba pilihan.

Doa berdoa sentiasa berantai,
Sekali pun jua janganlah lalai,
Kerana Iblis sangatlah pandai,
Benda yang keruh digambar damai.

Minta Tuhan lindungi hati,
Dari bisikan musuh Ilahi,
Kerana doa pelindung diri,
Tak siapa menang bila berdengki.
*
* Dalam novel kali ini, Dina memasukkan elemen syair pula di mana bait-bait syair ini dilagukan oleh jelmaan wanita berselendang dan berbaju putih yang seringkali muncul setiap kali Aina Najihah tertidur. Bagi yang mengikuti e-novel ini, ikutilah kisah bagaimana Aina Najihah menghadapi ujian berat yang sememangnya mencabar kemampuan seorang manusia. Terima kasih kepada pembaca setia Seteguh Kasih Aina Najihah atas sokongan anda.
 
posted by Miss Nukleas
Permalink ¤ 0 comments
Thursday, July 19, 2007,12:40 AM
Manusia, Hati Dan Topeng Muka
Kerana hati manusia bertopeng di muka. Faham tak? Jangan bingung ya. Nanti Dina terangkan.
Dalam menempuhi perjalanan hidup ini, Dina dikejutkan dengan satu 'siren' yang menyerlahkan sifat-sifat manusia sebenar. Tamak, ingin berkuasa, takut kehilangan sehingga sanggup menganiaya, mahu dihormati biarpun terpaksa menyembunyikan kebusukan perangai yang mana kalau orang tahu, pasti semua tepuk dahi. Ini semua menginsafkan Dina. Dina berdoa agar tidak menjadi manusia seperti itu. Penghormatan dari manusia tidak perlu dikejarkan, ia akan datang sekiranya kita benar-benar layak untuk disegani.
Namun, hidup pun bukannya akan menjadi tunggang langgang jika tidak disanjungi.
Teringat Dina akan sebuah frasa, " Mati bukan kerana keji, hidup bukan kerana puji".
Dan, berpegang dengan frasa tersebut, ingin sekali Dina melihat setakat mana kekuatan diri melalui liku-liku hidup tanpa memakai 'topeng muka'.
Apa yang Dina maksudkan dengan topeng muka adalah tanpa mengamalkan sikap berpura-pura, bermuka-muka dan bersandiwara demi menampakkan diri gah, baik dan terhormat.
Jadilah diri sendiri yang sebenar, mana sikap yang buruk kita baiki. Mana yang sudah busuk, kita gantikan yang baru. Segala sifat-sifat mazmumah kita buangkan perlahan-lahan dalam jiwa kita. Kita serikan hati dan diri dengan koleksi sifat-sifat mahmudah. Bukankah kita insan biasa? Tidak maksum dari segala dosa. Allah s.w.t Maha Mengetahui dan Maha Pengampun. Mana yang dah tersalah, kita cuba jangan ulangi.
Sesungguhnya, tiada manusia yang sempurna. Ada antara kita yang bersifat pemarah, ada yang bersifat pemalu dan ada juga yang bersifat pendiam. Semuanya menambahkan rencah watak kehidupan. Itu lumrah. Fitrah manusia untuk mempunyai kelebihan dan kekurangan.
Namun berhubung perkara sikap, seperti dengki, dendam, riak dan tamak semua itu adalah senjata yang cuba ditiupkan syaitan ke dalam diri manusia.Jika kita lemah dan lalai, hanyutlah kita dalam perangkap perasaan ini. Natijahnya, manusia itu akan menghancurkan manusia yang lainnya samada secara perlahan-lahan atau terang-terangan.
Sebagai contoh, kalau si penjahat yang kurang berilmu maka dia akan menghancurkan manusia dengan cara merompak atau mencuri untuk kaya.
Bagi penjahat yang licik dan berpelajaran, maka dia akan memusnahkan manusia secara berstrategi contohnya melalui penyalahgunaan kuasa, undang-undang yang tidak adil, menidakkan hak seseorang dan rancangan strategik berbentuk tekanan dan ugutan.
Bagi penjahat yang bijaksana pula, mereka tidak perlu menunjukkan diri. Cukup dengan menggunakan orang sekeliling untuk memainkan peranan mereka sehingga matlamat mereka tercapai biarpun melalui cara yang berdosa dan keji.
Biasanya, kategori penjahat yang kedua dan ketiga itu suka memakai topeng muka.
Namun, ada pula manusia yang terpaksa bertopeng muka kerana demi sesuap nasi. Jika tidak, susah benar hendak memenuhi keperluan hidup yang semakin mendesak. Barang-barang semua dah mahal. Kalau perlu bermuka-muka kerana tuntutan kerja, diteruskan jua lakonan. Namun kalau ada jalan keluar, segeralah berpergian dari situ. Ada pula hendak tak hendak, terpaksa berpura-pura suka dengan majikan atau kawan-kawan sekeliling. Semuanya kerana terpaksa. Mungkin yang ini boleh dikategorikan sebagai darurat. Wallahualam.
* Dina: Berusaha selagi boleh menolak pemakaian topeng muka selagi nyawa di kandung badan. InsyaAllah.
 
posted by Miss Nukleas
Permalink ¤ 4 comments