Thursday, September 20, 2007,4:23 PM
Siapa Lelaki Dalam Hidup Wanita
Lelaki- sejenis makhluk yang diperlukan setiap wanita dalam menempuhi kehidupan. Insan yang memberi perlindungan dan kasih sayang kepada kaum yang dulunya lemah ( kini zaman sudah berubah...). Biarpun terdapat pelbagai tanggapan dan persepsi tentang makhluk bernama lelaki, namun secara dasarnya setiap manusia itu sama ada lelaki atau wanita mempunyai fitrah jiwa yang sama, ada impian dan juga harapan. Asalnya kaum lelaki ini baik-baik sahaja, mungkin keadaan hidup dan persekitaran serta ilmu pengetahuan yang membezakan antara seseorang lelaki dan seseorang lelaki yang lain. Selain itu, jangan kita lupa peranan seseorang wanita juga boleh menjadi penyebab mengapa sesetengah lelaki itu mempunyai tanggapan yang berbeza terhadap kaum wanita.

Dalam kehidupan ini, peranan lelaki sangat jelas. Mereka merupakan pelindung dan
pemberi nakfkah kepada kaum wanita dan juga kanak-kanak. Namun sejak era 'women liberation' di Britian yang mencetuskan ideologi dan paradigma baru dalam fungsi sosial wanita, peranan lelaki sedikit sebanyak telah diambil alih oleh wanita. Biarpun secara keseluruhan, lelaki masih mendominasi tugas-tugas penting dalam sesuatu pertubuhan atau kerajaan, namun peranan wanita semakin hari semakin mengimbangi peranan yang dimainkan kaum lelaki.

Dewasa ini, ramai wanita yang mengeluh kerana lelaki. Sikap sesetengah lelaki yang tidak bertanggungjawab, suka mengambil kesempatan dan menggunakan kekuatan fizikal terhadap wanita semakin hari semakin meningkat seiring dengan peningkatan kemajuan dan kemodenan di setiap kawasan. Sebenarnya, harus kita ingat, hidup ini merupakan satu ekosistem. Seandainya seorang wanita gagal menggunakan peranan sebagai ibu yang baik untuk anak-anaknya ( termasuk anak lelaki) maka akan lahirlah individu-individu bernama lelaki yang akan tidak menghormati wanita, tidak bertanggungjawab serta pesimis terhadap wanita.

Begitu juga seorang lelaki, kiranya ia leka dalam menjalankan tanggungjawab mendidik isteri dan anak-anak, serta kurang menunjukkan rasa hormat dan kasih terhadap isteri, maka tidak mustahil akan lahirlah daripada keturunannya, anak-anak lelaki yang akan berlaku kasar terhadap menantu-menantu perempuan mereka. Justeru itu, seandainya ini berlaku, maka yang rugi adalah komuniti keluarga, juga masyarakat ( keluarga membentuk masyarakat ) dan akhir sekali bangsa dan negara.

Mengapa isu ini ditimbulkan?

Empat tahun lalu, seorang wanita berusia dalam lingkungan 24 tahun telah membuat aduan di sebuah badan Ngo tentang kezaliman yang dihadapi akibat perbuatan suami dan ibu mertua yang tidak membenarkannya berjumpa dengan anaknya sendiri. Ini berikutan satu insiden apabila si isteri telah terserempak dengan seorang wanita lain di dalam bilik tidurnya, di rumahnya sendiri. ( mengikut cerita wanita tersebut, perempuan itu ditemui sedang bersembunyi dalam almari ). Sejak itu, suaminya bertindak agresif dan defensif. Isterinya akan dipukul setiap kali isterinya menasihati suaminya supaya bertanggungjawab terhadap keluarga. Namun, apa yang memeranjatkan adalah cara wanita itu dipukul ( lebih tepat lagi didera). Setiap hujung jari wanita itu akan dikepit dengan playar sehingga luka-luka dan lebam. Perbuatan suaminya itu diketahui oleh ibu si suami itu sendiri namun nyata sekali, si ibu mertua lebih mengambil sikap menyembunyikan kelakuan buruk anaknya itu. Mungkin mahu menjaga airmuka dari jiran tetangga agaknya.

Tidak tahan dengan penderitaan dan tekanan mental yang dialami, si isteri melarikan diri dengan anaknya kembali ke rumah orang tuanya. Namun keadaan bertambah buruk apabila sang suami menculik anak mereka dan membuat laporan polis tentang sikap isteri yang dikatakan buruk serta mendera anak lelakinya. Ibu kepada si suami sentiasa menyokong anaknya dan turut mencerca menantunya kerana dikatakan cuba memburuk-burukkan anak lelakinya.
Hakikatnya, perbuatan si suami itu jelas tidak berperikemanusiaan dan hanya mementingkan dirinya sendiri ( bukan memikirkan masa depan anaknya ). Sikap ibu mertuanya pula hanya akan memakan diri kelak. Demi menjaga airmuka dan maruah keluarga, wanita yang tidak bersalah dipisahkan dengan anak sendiri. Sesungguhnya si ibu mertua juga pernah menjadi seorang ibu, seharusnya dia memahami perasaan yang dialami oleh menantu perempuannya. Sejak itu bermulalah episod-episod perjuangan si isteri yang asyik ke sana ke mari mengadu nasib pada Ngo dan badan-badan kebajikan.

Baru-baru ini, timbul pula kisah yang agak berlainan tetapi secara dasarnya adalah sama. Apabila Dina didatangi oleh seorang wanita yang berada di dalam lingkungan kawasan perumahan Dina, barulah Dina sedar bahawa di kala Dina bahagia di sisi anak-anak dan suami, ada seorang insan bernama isteri yang menderita dan tersiksa. Mulanya Dina pernah bertanyakan wanita ini, adakah suaminya ( yang Dina perhatikan jarang-jarang balik dan mempunyai isteri lain ) memberi nafkah kepadanya? Ini kerana melihatkan keadaan anak-anaknya, mereka bagaikan tidak terurus dari segi persekolahan. Bila Dina tanya, mengapa tidak disekolahkan, ibunya hanya mendiamkan diri. Dari sumber lain pula, ada yang berkata wanita tersebut tidak suka menyusahkan orang lain, jikalau tidak makan sekalipun biarlah mereka anak beranak yang menanggungnya. Tidak perlu meminta belas ehsan orang lain.

Masalahnya, jikalau dia tidak makan tidak mengapa ( sebab dia ada kudrat dan tidak membesar...) tetapi bagaimana pula dengan anak-anaknya? Mereka berhak mendapat pendidikan sebagaimana kanak-kanak lain. Seorang ibu yang menyayangi anak-anaknya sudah tentu tidak saanggup melihat anak-anaknya hidup melarat pada hari kemudian. Sekarang anak-anaknya masih kecil, tentulah tidak terasa kesan tiada pendidikan. Namun tegakah si ibu pada suatu hari kelak, menghadapi cemuhan dari anak-anaknya jikalau mereka jauh ketinggalan dari segi ilmu dengan rakan seusia mereka.
Baiklah, dipendekkan cerita wanita itu bertemu Dina dua kali pada hari yang sama. Wajahnya nampak gusar, dan setiap kali dia bercerita, airmatanya bercucuran. Pada pagi itu, dia meminta Dina mencarikan pekerjaan untuknya di kawasan berhampiran dengan secepat mungkin agar dia mampu tinggal di rumah yang dududukinya sekarang. Jika tidak, dia terpaksa berpindah malam itu juga ke rumah lain. Memanglah, kalau ikutkan hati Dina ingin membantunya. Masalahnya, pagi itu dia memberitahu Dina, dan tempoh yang ada cuma satu hari. Bagaimana dengan masa yang terhad, sedangkan Dina sudah ada urusan lain tambahan pula bukan mudah mencarikan pekerjaan buat seorang ibu yang ada lima cahayamata.

Tapi, dia tetap merayu. Katanya, ' dik, jika saya tidak dapat pekerjaan sekarang, saya kena pindah segera. Saya tak mampu bayar sewa dan keperluan harian.'

Dina bertanya padanya, " suami awak tahu tak kesusahan awak? Dia tak buat apa-apa ke?'

Wanita itu hanya mendiamkan diri. Dia tidak menjawab soalan Dina sebaliknya merayu Dina membantunya. Katanya, sekarang dia terpaksa mengemas rumah. Malam ini rumah tersebut harus dikosongkan. Dia tidak punya masa untuk mencari pekerjaan dalam tempoh yang terbatas itu.

Sehari berlalu. Puas Dina memikirkan bagaimana mahu membantunya sedangkan beberapa peluang pekerjaan yang Dina ketahui ada, tidak membolehkan seorang ibu beranak lima melakukannya. Ini kerana beberapa majikan berasa bimbang jika dia akan membawa anak-anaknya ke tempat kerja tersebut.

Akhirnya, pada malam itu dia datang bertemu Dina sekali lagi. Kali ini katanya, jika tiada pekerjaan yang mampu dibuatnya dan jika dia tidak dapat memiliki wang sendiri maka dia terpaksa berpindah pada malam itu juga. Katanya lagi, suaminya telah mencari rumah lain yang dia tidak tahu di mana dan dia terpaksa mengikutnya.

" Dik, kalau boleh saya tak mahu bergantung pada suami saya."

" Kenapa, dia kan suami awak? Dia tak bagi duit ya?"

" Bukan dik, dia bagi...." wanita itu menangis, " tapi ikut dia dik, kalau dia ada duit dia bagi...kalau duit dia sikit dia bagi sikit."

" Oh...kenapa awak tak bincang dengan dia, cerita masalah kewangan yang awak hadapi. Lagipun, kalau awak berkerja, siapa nak jaga anak awak? Ni Myira pun masih lapan bulan, masih kecil."

" Susah dik. Suami akak tu susah nak ajak bincang. Lagipun kalau akak kerja, anak akak yang tua tu boleh jaga."

" Cubalah, cakap baik-baik. Perkara ini kan tanggungjawab dia. Takkan dia nak biarkan anak-anak dan isteri dia tak cukup makan dan anak-anak tak bersekolah...."

" Dik,... sebenarnya tiga orang saya tak ada surat beranak. Pasal tu tak sekolah."

" Hah?! Eh, ini kes berat. Awak kena selesaikan cepat. Macammana boleh berlaku sampai macam tu sekali?" Ada sesuatu yang Dina ragui tentang status perkahwinannya tapi Dina tidak mahu bertanya secara mendalam kerana Dina ingin menyelesaikan masalah utama, iaitu isu pekerjaan dan kewangannya dulu. Lagipun dia sedang bingung.

" Tulah dik, puas saya beritahu tapi akibatnya saya yang sakit." Perempuan itu menangis tersengguk-sengguk. Apabila tangisannya reda, dia meminta Dina merahsiakan ceritanya. " Saya tak boleh nak mengadu dengan suami saya. Kalau adik nak tau, saya dah puas kena pukul. Badan saya sakit. Saya takut."

" Dia pukul awak ke? Macammana dia pukul?"
" Kadang-kadang, dia tumbuk saya. Ada masa, dia pijak saya, dia hantuk kepala saya ke dinding....macam-macamlah. Itu yang saya tak berani nak cerita. Dia tak bagi saya cakap pada jiran-jiran."

" Eh, ini salah kak. Tak boleh biarkan macam tu. Akak kena buat aduan polis."

" Itulah. Pasal tu akak nak kerja. Jadi akak tak payah bergantung pada dia. Akak dah tak tahan dik..." Airmatanya bercucuran lagi, tanpa malu dia memuntahkan kesedihan yang mungkin selama ini hanya dipendamkan seorang diri.

" Beginilah kak, baik akak tinggalkan nombor telefon akak. Esok saya telefon akak. Malam-malam ni, saya tak dapat hubungi kawan saya. Kawan saya bertugas di Jabatan Kebajikan Masyarakat. "

" Saya tak ada telefon, tapi kalau adik nak hubungi saya, adik boleh tanya pada Elis. Kadang-kadang saya telefon dia."

" Baiklah, akak pulang dulu. Biar saya fikirkan caranya."
" Tolonglah. Saya tak sanggup nak hidup macam ni lagi. Kalau ikutkan hati, saya nak bunuh saja diri dan anak-anak....saya tak tau dah nak buat apa."

" Itu bukan caranya kak. Jangan ikutkan hati, itu tandanya akak sudah mengalah sebelum berjuang untuk anak-anak akak. Anak-anak akak satu amanah, sepatutnya akak berusaha melindungi anak-anak akak." Ujar Dina sambil membelai rambut anak kecilnya yang bernama Myra.

Sebelum pulang, Dina sempat bertanya sama ada perbuatan suaminya memukul dirinya ada disaksikan anak-anak. Katanya, " anak-anak saya tahu. mereka nampak, suami saya kalau pukul saya dia tak kisah walaupun ketika anak kecil saya tengah menyusu. Kalau dia nak pukul dia akan pukul." Terdiam Dina mendengarnya. Alamatlah anak-anak kakak ini akan mengalami masalah emosi dan psikologi kalau tidak ditangani segera. Ya Tuhan, selamatkanlah anak-anak yang tidak berdosa itu!

Hendak dijadikan cerita, keesokan harinya atas nasihat kawan Dina yang juga pekerja Jabatan Kebajikan Masyarakat, Dina diminta memujuk wanita tersebut untuk membuat laporan polis. Ini kerana sesuatu tindakan susulan seperti menyediakan perlindungan untuk anak-anaknya hanya boleh diambil jika si ibu membuat laporan polis terlebih dahulu.

Dipendekkan cerita, usaha Dina menemui kegagalan dan tidak kesampaian kerana sehingga hari ini Dina tidak tahu di mana kakak itu berpindah. Selain itu, kakak itu tidak pernah menelefon kawannya yang dikenali sebagai Elis sejak dia berpindah pada malam itu.

Harapan Dina, agar Allah S.W.T membantu kakak itu dalam cara yang tersendiri ( mungkin akan ada orang lain yang boleh membantunya...)

Kesimpulannya, mungkin ada lelaki yang sikapnya tidak mencerminkan peranan sebenar seorang suami dan bapa kerana salah perempuan juga. Satu, gagal memilih calon hidup yang sesuai seperti yang digariskan dalam Agama Islam kita seperti mencari lelaki yang beriman, lelaki yang baik akhlaknya dan gagal memastikan perkahwinan yang ditempuhinya menepati kehendak agama seperti pada awalnya tidak menjaga batas-batas hubungan antara lelaki dan perempuan serta tidak berpaksikan kepada halal haram semasa menempuhi gerbang perkahwinan. Mungkin juga lelaki seperti ini lahir dalam keluarga yang tempang, tiada didikan seorang ayah dan asuhan seorang ibu...

Selebihnya, masyarakat juga berperanan membantu orang-orang sebegini dan istilah menjaga tepi kain jiran harus dikesampingkan untuk kebaikan bersama. Ingat, anak-anak wanita ini akan membesar dan mereka juga akan menjadi ahli masyarakat. Sekiranya ahli-ahli masyarakat yang akan lahir kelak, merupakan mereka yang cacat emosi dan kurang ilmu pengetahuan, maka bersedialah masyarakat setempat itu untuk menghadapi sebarang kemungkinan seperti timbulnya kes-kes dadah, berlaku gejala sosial di kawasan mereka dan akan berleluasa kes-kes kecurian, rompak dan rogol kerana ada ahli komuniti yang tidak terdidik seperti selayaknya seorang manusia itu dididik dan dibesarkan.

Justeru itu, peranan lelaki bukan sahaja dalam keluarganya malah dalam masyarakat sekeliling. Contohilah sikap Rasulullah S.A.W yang banyak berkorban demi orang lain. Kalaulah ada 1 lelaki yang mengambil iktibar sepertimana apa yang Rasulullah tunjukkan dan ada 1 lelaki yang berperanan seperti Saidina Abu Bakar R.A dalam komuniti anda maka tempat tinggal kawasan anda akan terpelihara, InsyaAllah.

Untuk itu...wahai kaum kelaki, seandainya kamu menjadi bapa yang baik untuk anak-anak kamu, serta suami yang bertanggungjawab dan penyayang kepada isteri kamu ( kerana Allah S.W.T ) maka tidak akan ada istilah rugi dalam hidup kamu pada usia tua kelak, namun jika ada yang bersikap seperti suami kakak di atas, maka bersedialah dengan hukuman di dunia dan yang pasti hukuman di akhirat. Tetapi seandainya kamu hanya berlaku sebaik mungkin kepada keluarga kamu, namun tidak dalam komuniti masyarakat setempat seperti tidak acuh kepada masalah jiran tetangga yang hidup dalam kesusahan, kedaifan dan kezaliman, maka kebarangkalian anak isteri atau cucu cicit akan terdedah kepada jenayah setempat adalah tinggi.

Dina: Syukur...hidup dikelilingi lelaki yang baik-baik.
 
posted by Miss Nukleas
Permalink ¤ 2 comments
Monday, September 17, 2007,8:48 PM

Ahlan Ya Ramadhan


Bulan Ramadhan datang buat kali yang ke -- puluh dalam hidup ini. Setiap kali kunjungannya Dina akan mengimbas kenangan berpuasa sewaktu kecil. Ketika itu, Dina berpuasa bukan kerana mengira pahala atau takut dosa ( sewaktu umur tujuh, lapan dan sembilan tahun ) tetapi lebih kepada hendak bertanding dengan sepupu-sepupu agar nanti bila ditanya pada hari raya, tidaklah kalah 'teruk'. Selain itu, bila berpuasa terasa diri sudah besar, rasa dihormati dan bila berbuka puasa tidak adalah nanti suara-suara sumbang yang berkata, 'pergi main jauh-jauh, awak tu tak puasa'. ( Maklumlah, kalau tak dapat berbuka sama-sama orang berpuasa alamatlah makan juadah lebihan mereka, biasanya kuih muih yang sedap-sedap sudah lesap dulu.)

Jika ditanya pernah tidak ponteng puasa, jawabnya memang ada. Tatkala itu dalam Dina dalam darjah dua dan tiga. Kalau hendak dipanggil puasa 'yang yok' pun boleh juga. Biasanya kaedah yang digunakan untuk melepaskan seksa dahaga pada usia tersebut, sama seperti kaedah yang budak-budak lain lakukan, iatu 'terminum' air sewaktu berwudhuk. Adalah dapat dalam dua tiga teguk, kira legalah untuk menahan dahaga dalam tempoh tiga empat jam. Sewaktu terteguk air, seolah-olah dalam hati sudah termaktub perkataan, 'air termasuk tekak, bukan sengaja'. Tetapi perkara itu terjadi beberapa kali sahaja, memandangkan perasaan bersalah terlalu kuat menghantui diri bila diri menginjak usia sepuluh tahun.

Kini semua perangai itu sudah hilang ditelan kedewasaan. Berpuasa bukan sahaja lebih kepada menahan lapar dan dahaga, malah berpuasa juga menyucikan jiwa dari semua sikap-sikap buruk dan sifat-sifat yang dibenci Allah S.W.T. Dalam menadah keampunan Ilahi, diri juga seakan terpanggil untuk membuat perubahan ( manusia itu sifatnya berubah, seharusnya begitulah. Kalau boleh biarlah berubah ke arah kebaikan.) Selain hendak mengimarahkan penghulu segala bulan ini dengan bacaan ayat-ayat suci Al Quran, bulan Ramadhan juga merupakan bulan yang terbaik untuk memanjatkan segala doa dan harapan kepada Allah S.W.T.

Berbalik pada zaman kanak-kanak, apabila menyebut tentang juadah berbuka, Dina paling gemar makan kuih jagung bakar. Pakcik Dina selalu membeli kuih tersebut ( di sebuah gerai di simpang tiga Jalan Kluang Batu Pahat, kini sudah tiada lagi. ) berpuluh biji banyaknya untuk dimakan ketika berbuka, biasanya dimakan bersama-sama anak-anak saudara yang lain. Kuih jagung bakar bentuknya kecil-kecil seperti kuih cara tetapi warnanya kuning ( maklumlah, jagung) . Harganya pun murah. Satu lima sen sahaja pada ketiza itu. Baru-baru ini, Dina terjumpa kuih jagung bakar tetapi dalam bentuk kuih bakar bijan yang berwarna hijau. Serta merta kenangan zaman kanak-kanak mencuit tangkai hati.

Sepanjang menunggu waktu berbuka, saat paling menyeronokkan adalah ketika mengunjungi pasar Ramadhan. Semasa menuntut di universiti, hidangan yang paling Dina suka adalah ayam percik. Kalau bungkus ayam percik Dina akan minta kuah percik lebih sikit. Yang paling Dina tak dapat lupakan, kawan group Dina ( group 7). Setiap kali pergi ke pasar Ramadhan, pasti dia akan membeli ayam' dinosaur'. Tau tak apa itu ayam dinosaour? Rangka ayam yang digoreng. ( bahagian leher membawa ke tulang belakang hingga ke pangkal paha ). Macam di sebelah ini....

Biasanya group 7 akan berbuka beramai-ramai di dalam blok. Habis berbuka dan solat Maghrib, maka berbondong-bondonglah kami menuju ke masjid untuk menunaikan solat tarawikh. Seperti selalu, kami buat lapan rakaat saja. Habis tarawikh, kami akan pulang ke blok meneruskan ulangkaji pelajaran.

Buat rakan-rakan yang diingati, pastinya kenangan berbuka di Satay King merupakan puncak keraian bulan puasa. Menunggu bas SUM tiba, dan menunaikan solat Maghrib di bangunan Mara Kajang, sambil siap menempah meja berserta satay merupakan kemestian sejak zaman matrikulasi. Kita tetap bersama meraikan Ramadhan, sejak tahun pertama menjejaki bumi UKM Bangi sehingga ke tahun akhir pengajian.

Kini, semua itu merupakan kenangan yang pernah terlakar di bulan yang mulia ini. Namun yang pasti, kedatangan Ramadhan sungguh membuat diri terpanggil untuk melakarkan perjanjian baru dengan Rabbul Izzati.

Masih banyak yang perlu dibaiki, masih banyak yang harus dicapai dalam hidup. Samada dari segi rohaniah atau akhlak semua itu masih kurang dalam diri. Mudah-mudahan kedatangan bulan yang mulia ini menyuntik satu kekuatan pada peribadi, agar akhlak, iman dan pemikiran lebih baik dari waktu-waktu yang sebelumnya.

Buat pelayar blog DDD, Selamat Berpuasa. Mudah-mudahan, kita dapat memanafaatkan sebulan Ramadhan ini ke atas diri kita sendiri khususnya. InsyaAllah. Ahlan Ya Ramadhan!
 
posted by Miss Nukleas
Permalink ¤ 0 comments
Thursday, September 13, 2007,2:59 PM
Di Ambang 17 Zulhijjah

Cempaka tersemat di hujung baju,
Gugur kelopak atas keranji,
Diucapkan Selamat pengantin baru,
Buat Abang serta diri ini.

Gugur kelopak atas keranji,
Seludang mayang ditimpa cahaya,
Buat Abang serta diri ini,
Kekalkan sayang semoga bahagia.

Seludang mayang ditimpa cahaya,
Mega petang seindah dian,
Kekalkan sayang semoga bahagia,
Masalah mendatang anggaplah ujian.

Mega petang seindah dian,
Seri terserlah kemilau di tangan,
Masalah mendatang angaplah ujian,
Kepada Allah pohonlah bimbingan.

Seri terserlah kemilau di tangan,
Terbit suria mekar kencana,
Kepada Allah pohonlah bimbingan,
Lantaran manusia tiada sempurna.
.
Terbit suria mekar kencana,
Letak joran di muara sepi,
Lantaran manusia tiada sempurna,
Segala cabaran bersama hadapi.

Letak joran di muara sepi,
Tempat meranti di hujung taman,
Segala cabaran bersama hadapi,
Kuatkan hati tetapkan iman.

Tempat meranti di hujung taman,
Akar sena tampak selirat,
Kuatkan hati tetapkan iman,
Teguh istana dunia akhirat.

Selamat Pengantin Baru Buat Diri Sendiri....

Karya:

Dina Najat
1999
 
posted by Miss Nukleas
Permalink ¤ 0 comments
,12:37 AM
Tahniah Rabiatul Adawiyah Atas Kelahiran 'Airmata Cinta'


Tahniah diucapkan


Atas sebuah kelahiran


Garapan idea cantuman perasaan


Dari plot-plot kecil


Berputik sebuah kisah dipersembahkan


Menyelusuri perjalanan


Novel kehidupan novel percintaan


'Airmata Cinta'



Karya

Rabiatul Adawiyah

Terbitan Kaki Novel Enterprise
 
posted by Miss Nukleas
Permalink ¤ 0 comments
Wednesday, September 12, 2007,12:39 AM
5 Syawal 1419
Pertunanganku

Dapat restu ayah ibu

Hati gembira selalu

Segalanya sudah ditentu


Pertunanganku

Semua orang asyik bertanya

Dari staff hingga ke pengetua

Tak kira senior mahupun junior

Dengan siapa? Bila jumpa? Gambar ada?


Pertunanganku

Aku.....tidak lagi ragu


Karya:

Dina Najat
1999
 
posted by Miss Nukleas
Permalink ¤ 2 comments