Thursday, March 29, 2007,12:50 AM
Dina 'Asyik' Dalam Pembikinan Novel Ketiga....
Pertama kali menggunakan kata nama 'aku' atau orang pertama dalam novel ketiga, adalah sesuatu yang mencabar kemampuan penulisan Dina. Dina yakin, InsyaAllah Dina akan dapat menyelesaikan novel ini seperti yang diharapkan penerbit.
Novel pertama TAKDIR CINTA, watak yang Dina paparkan tentunya Zafran Amir dan Suraya Syahidan, manakala dalam novel kedua, CINTA LUKISAN JIWA, pasangan heroin pilihan adalah Doktor Azrey Riezman dan Diyan Abdullah.Kedua-duanya menggunakan katanama kedua.
Namun, apabila membayangkan novel ketiga ini memerlukan permainan watak utama yang banyak bermain dengan emosi, Dina berpendapat adalah wajar menggunakan katanama 'aku' Mungkin kesulitannya tatkala mahu menggambarkan perasaan orang lain, dan dalam masa yang sama juga hendak menceritakan sesuatu peristiwa atau adegan di mana 'aku' tidak ada bersama. Bagaimana pun Dina anggap, ia merupakan satu cabaran dan Dina cuba melalui proses penulisan novel kali ini dengan berhati-hati.
Berikut sedikit petikan dari salah satu adegan dalam novel ketiga Dina:
(1)
Semua pendapatnya berjaya aku tepis dengan memberikan beberapa alasan yang kemudiannya disokong oleh Angie sendiri, seorang kakitangan bukan muslim dan Taufik, kakitangan paling lama berkerja di Hotel Mawar Biru. Peristiwa ini menimbulkan ketegangan antara lembaga pengarah dan pentadbiran hotel sehingga Puan Mawar terpaksa masuk campur apabila Encik Khairul bertindak mahu memecat aku.

“ Ustazah termenung apa? Ingat kelas mengaji semalam ke? Jawab soalan saya!!” Tengkingnya sambil memerhatikan aku dari atas ke bawah.

Cakap sajalah, tak payah nak jerit-jerit. Apa, fikir aku ni budak sekolah ke? Rungut hatiku. Pandang-pandang pula, macam kita ini lukisan, aku memprotes dalam diam. Aku sedar tiada pilihan dan akhirnya aku menjawab soalannya.

“ Rukun keempat, jangan sesekali berkata tidak kepada para tetamu hotel dan sentiasalah mengukir senyuman apabila berurusan dengan para tetamu.”

“ Ha..bagus. Tak perlu saya ajarkan kan?” Encik Khairul membetulkan tali lehernya lantas dia bangun dan berjalan di hadapanku. Bau rokok Marlboro serta merta memenuhi ruang pejabatnya. Busuk! Lubang hidung terasa sesak pula. Wajah Encik Khairul yang garang itu tidak kupandang langsung. Entahlah! Buat sakit hati saja.
(2)
“ Ambillah.”

Sampul itu aku terima biarpun debaran terus menggoncang dada. Lantas aku membuka sampul surat tersebut. Sekeping wang kertas bernilai satu ratus ringgit berada di dalamnya. Mataku berpinar. Lalu aku menatap wajah Tuan Mokhtar. Lelaki itu mengukir senyum lebar. Matanya juga seakan tersenyum. Tanganku tiba-tiba menggeletar. Saat itu juga darahku seakan bersatu, naik menderu ke atas kepala. Lantas ringan sahaja tapak tangan kuayunkan ke pipi Tuan Mokhtar.

“ Kurang ajar!”

Pangggg!

Sedikit petikan buat kali ini. Setiap bulan, Dina akan memaparkan adegan-adegan yang berlainan dalam blog Dunia Dina Najat. Jika tiada aral melintang, Dina harap novel ketiga ini dapat menemui pembaca pada akhir tahun 2007. Doakan ya!

Salam sayang,

Dina Najat

 
posted by Miss Nukleas
Permalink ¤
Friday, March 23, 2007,5:45 AM
Indahnya Bahasa Melayu, Indah Lagi Peribahasa Dan Pantunnya Yang Bermutu
Salam mesra buat pengunjung Dunia Dina Najat


Sudah lama Dina ingin berkongsi dengan anda semua tentang keindahan bahasa Melayu kita. Sebagai seorang penulis, juga secara tidak langsung seorang pemikir ( penulis memang banyak memikir..) Dina kagum dengan orang-orang lama yang bijak menggunakan bahasa secara kiasan dengan begitu puitis sekali apabila hendak menyampaikan sesuatu maksud.

Indahnya peribahasa Melayu, tidak terbanding rasanya dengan peribahasa barat. Bukan tujuan merendahkan peribahasa 'omputeh', tetapi itu yang menjadi kayu ukuran buat Dina dalam membuktikan cantiknya karya orang dulu-dulu yang bermain di bibir generasi hari ini.

Peribahasa yang paling Dina minati:

Kalau menarik rambut dalam tepung, rambut jangan putus, tepung jangan berselerak.
Dikulum menjadi manikam, dimuntah menjadi sekam.
Kalau kail panjang sejengkal, lautan dalam usah diduga.

Kalau pantun Melayu pula, tidak harus dipertikaikan keindahan susunannya. Jedanya, rimanya, pembayang dan maksud yang diluahkan bukan untuk saja-saja. Kadang kala, dalam makna yang hendak disampaikan. Jika diteliti dari sudut sastera, pantun Melayu lama mempunyai nilai sastera yang tinggi, dan ini membuktikan orang-orang lama generasi tok nenek kita, memang bijak dan dalam sekali akal pertimbangan mereka. Gerak hati mereka juga hebat.

Contoh pantun Melayu yang Dina minati:
Jentayu burung jentayu,
Hinggap di balik pokok Mayang,
Bunga kembang akan layu,
Budi baik manakan hilang.
Pantun dua kerat,
Lain ulu lain parang,
Lain dahulu lain sekarang.
Ada ubu ada batas,
Ada budi boleh dibalas.
Gurindam juga tidak terkecuali. Nasihat yang dipaparkan mempunyai mesej yang sarat dan tepat. Dina paling mengkagumi dua baris gurindam ini, iaitu:

Apabila anak tidak dilatih,
Sudah besar bapanya letih.
Fikir-fikirkanlah pantun dua kerat ini. Dina terkesan dengan nasihat yang cuba disampaikan. Barangkali Dina ada dua orang cahayamata, dan sekarang ini Dina giat melatih mereka dengan tabiat yang baik serta sikap yang positif demi memudahkan diri mereka juga serta Dina dan generasi akan datang. InsyaAllah.
Selain itu beberapa gurindam seperti di bawah ini, bagus sekali maksudnya:
Apabila banyak mencela orang.
Itulah tanda dirinya kurang.
Betul juga kan? Kerana orang yang dirinya 'lebih', maka dia akan faham sebab musabab kekurangan orang lain dari segi sikap, perangai dan pembawaan diri. Jadi tiadalah dia menghina atau mencela. Berbeza pula dengan orang yang dirinya 'kurang'. Orang sebegini sukar memahami mengapa sesetengah individu tidak bertindak atau bersikap seperti dirinya, jadi kalau seseorang itu banyak sangat mencela bermakna banyaklah kurangnya.
Dalam novel Dina yang pertama, Dina selitkan satu pantun yang Dina cipta dan paling Dina suka iaitu:
Harimau mengaum kancil melonjak,
Lari tempiaran kaki tersadung,
Variasi kaum budaya berkocak,
Luhurkan keaslian tradisi dikendong?
Jawab! Jawab! Ini pantun jual.
Ada juga pantun 'moden' yang sengaja Dina suntikkan dalam novel Takdir Cinta. Pantunnya berbunyi....
Awak timun saya sos pedas,
Dalam burger kita bersanding,
Awak pantun saya bahas,
dalam dewan kita bertanding.
( Pantun dari Zafran kepada Suraya. Pantun usik-usik gitu...)
Manakala dalam novel yang kedua, Dina cipta kesemua pantun-pantun dua kerat berjumlah tiga puluh buah pantun kesemuanya, dan beberapa yang paling Dina suka adalah seperti di bawah ini:-
Kalau berkata biar bernada,
Kalau bercinta biar bertanda.
Biar belacu bukannya songket,
Asalkan enak kena di kulit.
Di sini kasih pernah tertumpah,
Airmata juga semakin murah.
* Semua ini adalah madah-madah berunsur pantun tetapi Dina beri nafas 'klasik' kerana Dina ingin mengangkat nilai mesej dan keindahan serta puitis bahasa yang Dina ilhamkan.
Sehingga kini, khazanah bahasa Melayu masih ampuh dan Dina yakin, Bahasa Melayu boleh mengharungi arus globalisasi dan it. Oleh itu, siapa lagi yang boleh memartabatkannya jika bukan kita, bangsa yang menuturkannya. Ingat! Maju bahasa kerana bangsa. Jangan pula kita memajukan bangsa Melayu tapi mengabaikan bahasa kita dan berbangga dengan bahasa bangsa lain.
Salam Sayang,
Dina Najat.
 
posted by Miss Nukleas
Permalink ¤
Tuesday, March 13, 2007,5:12 PM
Jatuh Dan Bangun Dan Jatuh Dan Bangun
Jatuh...itulah yang kita alami semasa mula belajar berjalan. Tapi pernahkah kita patah semangat untuk bangun?
Tidak. Kerana jika kita sudah patah semangat untuk bangun bermakna kita tidak akan berjalan pada hari ini.
Hidup adalah satu perjuangan. Tiada istilah takut yang hendak dipahatkan dalam fikiran. Tempuh segala rintangan namun bukanlah tempuh secara melulu, secara membabi buta. Jiwa perlukan ilmu, jua perlukan pengisian kerohanian kemudian barulah boleh kita bawa jiwa kita menghadapi segala cabaran yang berada di hadapan. Sesungguhnya jiwa yang penuh dengan ilmu dan iman adalah perisai yang paling kebal. Jiwa ini tidak mudah patah semangat, tidak mudah mengaku kalah dan tidak akan terpengaruh dengan sogokan berbentuk kesenangan dunawi.
Dalam karya-karya Dina yang lepas iaitu Takdir Cinta dan Cinta Lukisan Jiwa, Dina paparkan watak utamanya yang kuat semangat, yakin kepada kuasa Yang Maha Esa serta bukan remaja yang leka dengan cinta sahaja. Remaja ini bangkit, cuba mengisi jiwa dengan ilmu, berfikiran positif dan gigih berusaha memperbaiki kehidupan mereka. Ini hanya sedikit contoh yang baik yang dapat Dina paparkan buat pembaca yang Dina sayangi dan hargai.
Kalaulah ada yang memberitahu Dina, ada kesilapan di sana sini dalam karya Dina dan ada kelemahan, semuanya dapat Dina terima dengan telinga yang terbuka....dengan lapang dada. Namun, Dina akan terasa sayu dan terkilan seandainya mesej yang ingin Dina serapkan di dalam jiwa pembaca tidak kesampaian.
Untuk pembaca dan para pelayar blog Dunia Dina Najat, kita perlu ada sekeping hati yang kuat dan sebuah minda yang hebat, demi menempuh arus kehidupan. Bangkitlah, berbuat sesuatulah untuk bangsamu dan keluargamu sebelum diri dijemput Tuhan. Tinggalkan nama yang baik untuk dikenang oleh anak cucu. Jangan sampai tiada jasa untuk kita persembahkan kepada bangsa dan negara, kerana jika itu berlaku bermakna kita berhutang sesuatu!
Jadi, kenali diri, ketahui kekuatan dan yakinlah mungkin ada sesuatu dalam diri kita yang belum kita terokai lagi!
" Segala kelemahan diri kita atasi, segala kekuatan diri kita terokai..."
" Allah S.W.T itu Maha Adil, ada sesuatu untuk kita namun kita jua yang masih tidak mencari apakah yang tertanam dalam diri...gali, gali dan terus menggali."
 
posted by Miss Nukleas
Permalink ¤
Friday, March 09, 2007,3:21 AM
Strawberry Cheese Cake
Ramai yang tanya Dina pasal strawberry cheese cake, cenderahati masa soft-launch hari tu...Dina nak bagitau, cheese cake tu bukan Dina buat.

Dina tempah dari pengusaha bumiputera yang giat membuat kek termasuk cheese ckae ( specialty diorang le tu!).

Kotak kek, ribbon termasuk sticker CLJ, semua tu pengusaha tersebut yang menciptanya dan menyediakannya. Dina huluq duit jek.Dina gembira pasal ramai yg suka cenderahati tu..

Ini no tel mereka bagi sesiapa yg berminat: 013-3885067 @ http://www.cupcakes-etc.com
 
posted by Miss Nukleas
Permalink ¤