Tuesday, October 23, 2007,11:36 PM
Angkasawan: Satu Pelaburan Besar Untuk Generasi Kita - Optimiskah Anda?

Beberapa minggu yang lepas, Dina melayari blog dan juga laman web yang memuatkan berita tentang angkasawan pertama Malaysia. Sebenarnya, seminggu menyambut Hari Raya menyebabkan Dina banyak ketinggalan berita tentang angkasawan Malaysia. Jadi, peluang yang ada selepas balik raya dan tentunya setelah penat menghadap komputer kerana menyiapkan novel yang entah bila nak jumpa endingnya, Dina pun apa lagi bukalah channel Angkasawan Astro.

Wah! Terinspirasi sekejap melihat kejayaaan anak Malaysia ke angkasa lepas. Bila memandang balik kepada diri, aduhai keberanian aku yang ada sangatlah tak teruji. Jangan kata nak pergi ke bulan, pergi belakang rumah yang banyak semak pun takut. Takut ular ..eei! mak ooi. Kalau malam pula, takut....he..he.heeee ( __harum __malam tu )apatah lagi bila nak meredah jalan gelap depan rumah Dina ( tapi sekarang ini kita patut takut orang- ingatkan kes Nurin Jazlin? Macam-macam boleh jadi.) Dan lagi satu takut, waktu nak panjat tangga tinggi, takut gayat masa tengok bawah.

Dina berharap, dapatlah Dina kikis sikap penakut yang ada ini sedikit demi sedikit. Jadi dipendekkan cerita, Dina pun terfikir, kalaulah umur dah menjangkau __( ehem..ehemm, taklah tua sangat, tapi bukanlah budak hingusan )apakah kejayaan yang pernah Dina lakukan? Aduhai, terasa banyak yang tak tercapai dan banyak lagi yang boleh dicapai. Kita ini, sebagai orang Islam banyak yang hendak kena fokus. Kalau terlepas pandang satu, maka tempanglah perjalanan hidup.

Contohnya, bukan sahaja fikirkan kerja dan duit yang masuk dalam poket, tapi kena juga fikirkan amal ibadat serta santapan rohani. Bukan sahaja kena fikirkan hal anak-suami ( kalau yang lelaki, anak -isteri) tapi emak dan ayah, adik beradik, jiran tetangga tak boleh juga diabaikan. Kata orang tanggungjawab keluarga dan tanggungjawab sosial.

Sudahlah begitu, kalau asyik fikir kerja pun, tak akan seimbang hidup ini kalau kesihatan tidak dijaga. Maka berpusu-pusulah kita pergi periksa tekanan darah dan kadar gula dalam badan ( peringatan, sakit jantung dah tidak mengira usia sekarang.) Wah! Banyaknya nak kena ingat.

Belum habis lagi, takkan tak mahu ambil tahu berita tanah air kot. Jangan satu Malaysia dah heboh pasal kes Nurin Jazlin atau kisah adik Yin, kita dok ternganga bila orang sebut, 'kasihan keluarga Nurin Jazlin'. Nanti ada yang jawab, " Eh, apa pulak, semalam aku tengok Kak Noreen tu elok saja, pergi PD bercuti sakan dengan suami dia." Itu jiran sebelah rumah, cik kiah ooi. Ini kes Nurin yang menggegarkan satu negara.

Selain itu, kita juga kena pastikan diri selalu bersenam. Mana boleh periksa darah, jaga makan tapi asyik duduk depan komputer, alamat menggebulah badan ( terasa diri ini )...

Aduhai! Memang meletihkan tetapi, inilah dia kehidupan. Kita bukan sahaja perlu memastikan gaya hidup yang seimbang, malah kita juga PERLU memastikan HARI INI LEBIH BAIK DARI SEMALAM.

Maka Malaysia juga begitu. Setelah buat kereta, Putrajaya, Measat dan sebagainya maka sekali lagi Malaysia mengorak langkah apabila menghantar seorang angkasawan Malaysia ke luar negara. Ketepikan pasal masalah dalaman PROTON, sekurang-kurangnya teknologi itu sampai kepada kita. Kita yang dulunya dilabelkan sebagai masyarakat tani kini sudah berani mendekati sains dan teknologi.

Ada yang kata, Angkasawan kita Space tourist, tapi mereka terlupa Yuri Gagarin juga menjalani satu ujian pemilihan sebelum dia terpilih ke angkasa. Antara yang diuji termasuklah ketahanan mental, kecergasan tubuh badan, keupayaan menghadapi tekanan populariti, tekanan menghadapi media dan ujian IQ.

Ada pula yang cakap, kenapa Angkasawan kita tak bawa limau mandarin atau capati ke angkasa? Tapi bawa serunding dan kuih bangkit. Ini tidak mencerminkan semangat Malaysia. Aduhai mereka yang bersuara, sudah tentu masa berlepas lagi dua hari nak raya, dah hampir bulan Syawal, takkan nak makan limau. Lagipun, bolehkah kapal angkasa itu bawa banyak jenis makanan ( nanti digelakkan angkasawan lain pulak..maklumlah nak bawa limau, capati, popiah, roti canai dan macam2 lagi demi menunjukkan semangat Malaysia ).

Pembaziran? Tak dinafikan, jumlah wang yang digunakan sangaaaaaaaatlah besar untuk program angkasawan. 29 juta kalau tak silap Dina. Hebat sungguh projek mega megah ini dikritik, namun apa hendak buat, kalau kita hendak anak kita pandai kita tak boleh kedekut duit.

Dina amat berharap, apabila Sheikh Muszaphar melaksanakan tugasnya sebagai ANGKASAWAN, maka dia juga akan memainkan peranan sebagai DUTA MemIMEJBARUkan remaja Malaysia terutama Melayu yang maaf cakap ya, sekarang ini lesu, banyak yang hilang jati diri, mengejar ilmu kerana hendak dapat A, ( ada segelintir sahaja yang tak macam tu) dan yang paling menyedihkan, terlalu LEKA dengan HIBURAN, terlalu MANJA ( maklumlah, lahir pasca Merdeka) , bersikap Nafsu Nafsi, ramai remaja Melayu yang hilang jatidiri bangsa di dalam jiwa dan penampilan diri.

Semoga, dapatlah selepas ini anak-anak di bangku sekolah ( termasuk semua kaum yang ada )yang menjadi para peminat fanatik Mawi atau Siti Nurhaliza akan berkata, 'kita nak jadi angkasawanlah..' daripada berkata, 'kita hendak jadi penyanyi.'

Bukan apa, hendak jadi angkasawam kenalah bijak, berani dan ada keyakinan diri. Mesti faham sains dan boleh faham sains. Pandai matematik dan mempunyai ketahanan mental yang bukan calang2. Sekurang-kurangnya, rajinlah nanti anak-anak kita mencari ilmu dan mendampingi buku-buku. Bersungguh-sungguhlah mereka hendak belajar selepas ini setelah dimotivasikan oleh berita KeHEBATan ANGKASWAN ( Angkasawan lagi popular dari jadi artis ). Jika tidak, ramai pula yang akan mendampingi TV- rancangan program realiti spt AF, tidak pun, majalah-majalah hiburan yang diselit dalam buku-buku teks sekolah jadinya.

Lagi sepuluh, dua puluh tahun pun, kalau tak jadi angkasawan, dapatlah anak-anak Melayu kita menjawat profesion yang diperlukan dalam masyarakat. Bukanlah kerjaya artis ini tak diperlukan ( perlu, tapi tengok juga jenis lagu yang dibawa..) hanya tak perlu terlalu ramai. Hiburan dalam hidup kita tak perlu terlalu banyak sangat. Banyak lagi perkara serius yang harus dilaksanakan agar kita tidak menggigit jari pada masa akan datang melihat tanahair kita tergadai.

Jika misi Sheikh Muszaphar untuk membentuk pemikiran positif dan mengembalikan semangat mencintai ilmu serta menanam sikap berani dan yakin diri di kalangan remaja serta anak2 kita berjaya, berbillion ringgit itu dikira sudah terbayar.


Dina - Anak-anak Remaja Kita Perlukan Idola Yang Lebih Baik Untuk Diteladani
 
posted by Miss Nukleas
Permalink ¤ 3 comments
Monday, October 08, 2007,6:22 PM

Terima kasih Kaki Novel Enterprise di atas jemputan berbuka puasa pada hari Sabtu yang lalu bertempat di Taman tasik Titiwangsa- Restoran Nelayan.

Turut hadir memeriahkan majlis adalah semua penulis Kaki Novel seperti Puteri Andalas, Izza Arippin, Rabiatul Adawiyah, Izzul Izzati dan Anita Abdullah. Majlis turut dimeriahkan dengan kehadiran kakitangan Kaki Novel sendiri diketuai oleh Encik Rizal yang begitu mengambil berat tentang keselesaan dan makan minum tetamu jemputannya sepanjang majlis berbuka puasa.

Majlis yang serba ringkas tetapi penuh kemesraan ini juga merupakan jambatan yang menghubungkan antara para penulis yang jarang-jarang bersua muka dan di sinilah kami bertukar-tukar cerita dan pendapat di samping saling bertanya khabar.

Majlis yang berakhir lebih kurang pukul sembilan malam ini juga turut mengundang beberapa peminat dunia penulisan yang turut sama meraikannya, di antaranya Cik Carrie dan Mama Erra. Tidak ketinggalan juga meramaikan majlis, Editor majalah I-Remaja, Kak Sarimah atau Emma yang tidak jemu memberi sokongan kepada para penulis tanahair.

Terima kasih Kaki Novel di atas penghargaan anda terhadap penulis novel Kaki Novel.
 
posted by Miss Nukleas
Permalink ¤ 2 comments
,2:49 PM
Hari Ini Hari Yang Kelabu..Emosi Tak Menentu

Tak pernah Dina mengalami masalah tekanan emosi yang berterusan sebegini. Hati asyik memikirkan sesuatu, sesuatu yang hilang.....sesuatu yang sebelum ini asyik melekat di tangan kini entah ke mana terbang. Puas dicari di dalam rumah mahupun di kereta yang usang tapi tak juga nampak bayang. Di mana? Siapa ambil? Atau mungkinkah tertinggal di atas meja restoren semasa berbuka puasa?

Huhh! Kalaulah boleh bertemu semula, alangkah tenangnya hati yang bergelora. Kalaulah tak jumpa-jumpa, seakan mahu kuguruhkan di seluruh jagat raya.

Kesimpulannya - dua tiga hari ini merupakan detik yang terlalu menyesakkan dada, keinginan menggebu hanya tergantung-gantung di jiwa lantaran Koleksi Terpilih ' A.Samad Said' susunan Sarah Sadon hilang tak jumpa-jumpa. Ya Allah ya Tuhanku...tunjukkan daku di mana buku kesayanganku itu...Amin.
 
posted by Miss Nukleas
Permalink ¤ 0 comments
,2:54 AM
Selamat Hari Raya Buat Semua Pengunjung


& Maaf Zahir Batin....
 
posted by Miss Nukleas
Permalink ¤ 0 comments
Thursday, October 04, 2007,8:13 PM
Lord of Ramadhan by CoTu
 
posted by Miss Nukleas
Permalink ¤ 0 comments
,5:59 AM
Manjaku Hilang ( Nostalgia Seorang Anak Perempuan Dan Ayahnya Ketika Kecil.)
Melalui gerabak perjalanan keremajaaan
Leka mengulit buku dan kertas peperiksaan
Tidak aku sedar saat itu tak terkejar
Bercerita, bergelak ketawa, usik sapa semakin sirna
Ohh...rupa-rupanya manjaku telah lama beredar
Manjaku hilang rohnya melayang...

Merentasi angka-angka usia...doaku himpun
Di kala tekun menimbun ilmu di dada bersusun
Tika aku ghairah berpersatuan..mengarah, diarah,
Manjaku lemah...perlahan-lahan manjaku akhirnya menyerah.

Bila usia memekarkan sayapnya di awan biru
Aku berterbangan tinggi sesekali pulang jua ke bumi
Tidak aku tahu...tidak aku mahu
Sedar-sedar..
Manjaku tersungkur...terkubur bersama waktu

Bila aku terjaga
Usia sudah suku roda hayat yang ada
Aku tiba-tiba sedih tidak terkira
Airmata duka membasahi muka
Tanpaku rela
Masanya telah pergi jua
Masanya tidak akan kembali semula
Manjaku hilang
Manjaku...
Rohnya melayang

Kini
Manja yang mendatang
Dalam bentuk baru untuk anak-anak tersayang
Menikmati erti manja dalam usia muda sebelum dewasamu menjelang

Dan diri ini
Sekadar membongkar kenangan bermanja
Dalam usia-usia sekarang sebelum merangkak akhir dewasa
Bahawa manjaku yang pernah datang
Jua manjaku yang kini hilang
Tak mungkin pulang.
Kerana saat itu tak akan berulang!
*
Dina Najat
4/10/2007
*
 
posted by Miss Nukleas
Permalink ¤ 0 comments
Monday, October 01, 2007,7:53 PM

'Seteguh Kasih Aina Najihah'


Sebuah kisah perjuangan..

Sebuah cinta yang menuntut pengorbanan..

Sebuah masa silam yang terpaksa dibongkar..

Bersama menyelusuri liku derita,

Mendengar rintihan jiwa,

Mengesat titis airmata

Seorang Aina Najihah.....


Dalam e-novel.....

' Seteguh Kasih Aina Najihah'
Akan Terbit 2008


 
posted by Miss Nukleas
Permalink ¤ 0 comments