Ujian Untuk Kakak Ini Besar Sekali! Sabarlah Kak.....
Di malam yang hening (tatkala ini jam di komputer Dina menunjukkan sudah masuk pukul 2 pagi) Dina terpanggil untuk berkongsi sebuah kisah benar yang Dina kira sesuai sangat untuk kita jadikan renungan dan mengambil iktibar darinya. Kisah ini memaparkan bagaimana seorang orang ibu yang bersemangat kental mengharungi hidup yang getir.
Suatu hari, Dina sedang duduk menanti rakan di sebuah perhentian bas. Jemu menunggu kawan Dina tiba, Dina menuju ke sebuah kedai majalah yang berdekatan dengan niat hendak membeli suratkhabar. Dari dulu memang Dina suka membaca dan Dina akan berasa janggal jika duduk sahaja tanpa membaca majalah atau suratkhabar. Jadi, Dina sambar satu suratkhabar yang memaparkan berita politik tanahair yang bukan dari arus perdana.
Sedang memerhati tajuk besar suratkhabar yang berbunyi ' Apa Jadi Dengan Remaja Melayu hari Ini?' ( dalam gambar di suratkhabar itu, memaparkan gambar seorang Mat Rempit dan satu lagi, gambar perempuan Melayu berpakaian seksi sedang berpelukan dengan dua orang lelaki di kiri dan kanannya) . Tiba-tiba, Dina terdengar seorang kanak-kanak merengek. Budak lelaki yang berusia sekitar lapan tahun menarik-narik hujung baju kurung ibunya dan bersuara, " Ibu, nak air kotak tu, Yid tak minum lagi...". Ibunya buat-buat tak dengar. Anaknya masih tidak berputus asa meminta dan bersuara lagi, " Ibu, Yid haus!". Mendengarkan rengekan anaknya, terus ibunya menggosok bahu anaknya dan menjawab, " Tadi dah minum air teh. Sudah ye...". Jawab anaknya, " Minum ajek...makan tak. Yid nak air coklat tu."
Selesai menerima wang baki dari mamak penjual majalah itu, Dina menuju ke bangku yang berhampiran dan melabuhkan punggung. Perbualan ibu dan anak itu, Dina tinggalkan. Baru beberapa saat Dina duduk, seorang budak lelaki berusia sekitar sepuluh tahun dan seorang budak perempuan yang juga tidak jauh beza dengan usianya duduk di sebelah Dina. Mereka nampak tidak ceria. Tiada ada sinar kegembiraan yang terpancar dari wajah mereka ( Dina sempat mengerling ke arah mereka!) dan selepas itu perempuan yang tadi Dina jumpa di kedai majalah pun muncul dengan anak lelaki yang membahasakan dirinya 'Yid'. Rupa-rupanya, dia adalah ibu kepada anak-anak itu ( dua anak lelaki dan seorang anak perempuan ).
Dari bahasa badan dan riak wajah mereka bagai mereka dihimpit masalah yang tiada jalan keluar. Mendung sungguh wajah ibunya dan anak-anaknya kelihatan tidak bermaya. Tiada usik mengusik dan ketawa ria yang lazimnya dapat kita dengarkan dari adik-beradik seusia mereka.
Memandangkan ibunya duduk di sebelah Dina dan sebagai insan sesama Islam, Dina tidak keberatan menghadiahkan senyuman dan bertegur sapa sekadarnya. Namun tidak sangka pula, dari sekadar tegur sapa pendek akhirnya Dina 'terkedu' serta 'terpaku' mendengar kisah perjalanan hidup 'ibu tunggal' anak empat itu ( rupa-rupanya dia ada seorang lagi anak lelaki, berusia dua belas tahun dan sedang terlantar di hospital kerana sakit kronik, dan sedang menunggu hari pembedahan).
Di sini, Dina paparkan perbualan Dina ( seingat Dina dan Dina cuba bayangkan semula) untuk manafaat kita bersama dan juga sebagai tauladan buat semua, InsyaAllah.
Dina : Balik mana Kak?
Kak : Tak...tunggu pejabat JKM bukak. ( Jabatan Kebajikan Masyarakat )
Dina : Mana pejabatnya?
Kak : Tingkat atas bangunan ni je. Dulu letaknya kat bandar, tapi susah nak pergi. Kalau pergi terpaksa naik teksi, tambang teksi je dah berapa. Tu yang pejabat JKM ni tukar kat stesyen bas ni. Senang orang macam akak ni nak datang.
Dina : Ooo. Akak memang selalu ke situ ke? ( Serba salah juga nak tanya tapi dalam hati nak tau juga, apa kesusahan yg kakak ni tanggung!)
Kak : Sejak arwah suami meninggal, terpaksalah. Kadang tu kalau bantuan tak datang, terpaksa kita pergi mintak. Tak kiralah, Baitul Mal ke, pejabat Zakat ke..JKM ke. Nak kerja pun macam mana, anak siapa nak jaga.
Dina : Betul jugak. Lama dah arwah suami akak tak ada?
Kak : Dah dekat lapan tahun.
Dina : Anak akak tak sekolah hari ni ke? ( Hari ini hari sekolah, itu yang Dina tanya.)
Kak : Ini baru balik dari hospital. Budak-budak ni sibuk nak jumpa abang dia. Anak yang sulung dalam wad. Sakit. Ini yang susah ni. Anak nombor tiga ni dah seminggu demam tak baik-baik. Yang sulung pulak dalam hospital. Doktor suruh bedah. Entahlah...nak ambil air tulang belakang katanya. Tak tau, nak benarkan ke tidak. Orang cakap, kalau ambil air tulang belakang boleh cacat. Tapi doktor suruh ambil kalau nak tau penyakitnya.
Dina : Hmmm, berat juga masalah akak. ( Dina dapat rasakan penanggungan kakak ni, berat sungguh.). Kak, keluarga akak cakap apa? Tak tanya pendapat keluarga akak?
Kak : Keluarga?! ( Terdiam, matanya merenung jauh. Bagai mengimbas sesuatu kenangan yang mencengkam perasaan...) Kakak tak ada keluarga.
Dina : Maksud saya, mungkin mak atau ayah akak...err...keluarga terdekat?( Dina pelik sebenarnya, tak akan tak ada adik beradik ke, mak bapak ke, makcik ke atau paling tidak ipar duai!)
Kak : Itulah, orang kata bila kita senang semua nak mengaku saudara. Tapi bila susah, mak bapak pun tak nak mengaku anak. ( Mata kakak tu berair...berkaca-kaca. Dina terharu dengan kata-kata kakak ini dan cuba mencari ayat yang sesuai untuk bertanya lagi. )
Dina : Macam mana boleh sampai macam tu kak?
Kak : Bila arwah suami akak meninggal, sejak tu timbul cerita yang akak ni bukan anak dia. Bukan benih mereka (mereka tu dimaksudkan ibu bapanya...). adik beradik pun tak mengaku akak ni adik beradik. Bila kita susah, suami dah mati, diorang takutlah kita menyusahkan hidup diorang. Itu agaknya tak nak mengaku adik beradik.
Dina : Oh...hummm, sabarlah kak. Mungkin itu ujian untuk akak. Allah tu Maha Adil, tak kan diberi masalah dan ujian macam tu saja. Sabarlah kak, ini semua mungkin ada hikmahnya. Banyakkan berdoa.
Kak : Itulah. Pasal tu akak berusaha, cari duit. Dulu berniaga goreng pisang, nak cari duit lebih. Tak nak harapkan JKM, Baitul Mal aje. Akak tak nak anak-anak akak jadi macam akak, tak sekolah. Nak kerja pun susah. Duit berniaga abis macam tu aje, budak tengah sekolah banyak pakai duit. Akak tak mahu anak-anak akak jadi macam akak, takde pelajaran. Susah hidup.
Dina : Dulu, akak tak bersekolah ke, ( Dina anggarkan umur akak tu sekitar 35 tahun, nampak tua dari usianya kerana tak bergaya dan berbaju agak lusuh.)sekurang-kurangnya sekolah sampai SRP ke atau SPM?
Akak : Itulah, dulu kita tak sedar. Mak bapak nak gunakan kita, perah tenaga kita. Itu yang kita tak dihantar ke sekolah langsung. Disuruhnya buat kerja-kerja rumah aje. Yang kita tahu, masak, basuh baju dan mengemas rumah. Sekolah setakat sampai darjah tiga. Apa yang ada? Sijil pun tak ada! Yang lain dibagi sekolah. Akak tak.
Dina : ( terdiam seketika...kasihan dengan perjalanan hidup kakak ini. Bukan dia yang minta susah sebegini, tapi takdir hidupnya begitu...)
Akak : Pasal tu, susah macam mana sekalipun, anak-anak akak tetap akak sekolahkan. Kalau sakit tak datang sekolah sekali sekala tak apa, tapi sekolah tu, mesti! Biar akak ni makan pakai kurang, tapi sekolah anak, ....mesti. Akak tak nak anak-anak akak jadi macam akak, agama pun kurang. Masa kecil asyik buat kerja rumah, ajar sembahyang pun tidak. Entahlah...Tuhan aje yang tahu siksanya hidup tak ada ilmu. Kadang-kadang tu, akak dendam dengan mak bapak akak, kenapa diorang tak hantar akak sekolah? Kenapa tak ajar sembahyang? ( Air mata akak tu bergenang, dikesatnya dengan tudung yang dipakainya)
Dina : ( Menarik nafas panjang....termenung seketika...) Kuatkan semangat kak, saya dapat rasa, besar sungguh ujian akak ni. Banyakkan berdoa kak, jangan putus hubungan dengan Allah. InsyaAllah, akak akan dapat kekuatan. Baguslah akak berusaha untuk anak-anak akak, sekarang ni akak berjuanglah untuk anak-anak akak. Siapa tahu, akan datang anak-anak akak yang akan buat akak bahagia. Macam mana bantuan yang akak terima setakat ni dari JKM? ( dan kemudian perbualan Dina lebih berkisar kepada JKM, Baitul Mal dan Pusat Zakat )
Apa yang ingin Dina katakan di sini, jelaslah mengapa Islam itu mementingkan ilmu dan iman dalam kehidupan. Sesungguhnya, Islam itu menjaga 'jiwa' manusia. Lihatlah bagaimana hidup jika tidak berilmu? Susah dan terpaksa meminta-minta. Dan lagi satu, bagi Dina, anak itu umpama pokok, kecilnya jika disirami dengan ilmu dan tunjuk ajar, didikan akhlak yang mulia serta diasuh dengan penuh perhatian maka bila besar nanti mereka akan jadi seperti pohon yang merendangi hidup kita, Buahnya boleh dipetik, dimakan dan mereka mampu membuatkan kita tersenyum keriangan. Bukan ibu bapa mengharapkan balasan, tapi InsyaAllah, hidup ibu bapa pasti bahagia.
Namun jika anak itu tidak dididik dengan sepatutnya, tidak diberi ilmu terutama ilmu agama, tidak diasuh akhlaknya dan tidak diberi perhatian maka ia tak ubah seperti membela seekor 'ular'. Kecilnya tiada apa-apa yang hendak dirisaukan sangat tetapi jika besar kelak, mereka akan membelit kita, memakan kita, menelan kita. Susah jadinya kelak hidup di kala tua kerana sikap anak-anak. Justeru itulah sering kita dengar kisah anak-anak menagih dadah, mencuri duit ibu, anak tipu harta mak bapak, anak pukul mak atau bapak, anak menjadikan ibu bapanya seperti hamba serta anak melupakan ibu bapa setelah hidup berkeluarga. Nauzubillah! Minta anak-anak kita tidak seperti itu.
Ingatlah, hari esok tercipta atas apa yang kita rencanakan dan usahakan hari ini. Anak-anak adalah permata hati. Biarlah hadirnya anak-anak akan memberi manafaat kepada diri kita, bangsa, agama dan negara. Itulah pelaburan yang paling bermakna, lebih bermakna dari pelaburan kewangan!
Salam sayang,
Dina Najat