Friday, November 14, 2008,8:46 PM
Selamat Berjumpa Kembali
Sekian lama Dina tak mengetuk papan tetikus.....( wah...formalnya bahase!) ni. Sejak mendapat anak ketiga, Dina bahagia dikelilingi hero-hero kecil yang kadangkala boleh bertukar menjadi ultraman atau batman atau kadangkala cicakman yang sentiasa memeriahkan rumah Dina. Terleka dengan kesibukan menjalani rutin rumahtangga ( maid dah takde....Dina ler yang ambil alih kerjaya berprofil tinggi nih- uruskan rumahtangga kan dpt pahala besar, ye tak?). dari mengemas sampai membasuh baju, menjemur, melipat dan huk...huk...huk..menggosok...oh tidak!!! Dina paling terseksa bab gosok baju.
Pic: Dina Dalam Program Anak-Anakku Tak Tau Diam.....


Sebab masa kecil-kecil dulu mak Dina ambil alih post baju-baju ni, dan secara paksarela Dina take over bab pinggan mangkuk dan kemas rumah.) Jadi jangan ler terkejut kalau bab membasuh pinggan mangkuk dan mengemas ni, Dina boleh dikatakan pantas macam lipas kudung ( dah puji diri nampaknya!).


Alkisah, sepanjang Dina tak menulis ni Dina menjalankan hobi nombor satu Dina iaitu tak lain tak bukan MEMBACA. Daripada buku Bagaimana Memdidik Anak-Anak karya Ismaiza Hamzah, Buku Nurturing The Genius And Winer In Your Child, artikel-artikel pojok dalam The Star-Mag, sampai ke buku Karya Sifu-Ainon Mohd ; seni Baerbual-Bual dan Berkata-kata sehinggalah buku-buku agama dan segala macam Majalah Dina belek sepanjang 'confiment' dan sehingga ke hari ini.

Wah! Kalau ambil program Ijazah ni kira, dah habis satu semester.

Banyak yang Dina hendak ceritakan, dari kisah kawan-kawan yang datang dan pergi dalam hidup Dina. Yang dulunya kawan rapat dan menjauh dari diri kerana dah duduk jauh nun di selatan tapi tiba-tiba datang semula ke Bangi; persahabatan bersemi semula. Bestnya. Dari kawan yang lama tak jumpa kerana kesibukan tugasnya sebagai petugas di High Court tiba-tiba dapat bertemu semasa open house raya, dari kawan yang asalnya jiran rapat...cik intan kita, mana buku gee Intan? Bila nak pulang? Anak aku pun kau belum tengok?!! Tak patut, tak patut betul kau ni. Dari jiran dekat yang tiba-tiba jadi kawan seperniagaan, baiknya si Ana ni. Suka dengar cara dia cakap....sopan dan tertib gitu. Melalui Ana, tepatlah peribahasa mat salleh, dont judged a book by its cover.


Hummm....segalanya silih berganti. masa semakin pantas berlalu. Yang ada satu novel dah masuk dua novel, yang ada dua novel dah nak masuk tiga! Tak gitu Durrah fatiha...( tahniah..tajuk dah habaq kan) dan Dina ni dah tiga novel....bila lah nak masuk empat ( puzzle sikit kepala nih....apa taknya bila nak siapkan satu bab, baru setengah jam menaip, si kecil sudah menuntut susunya...) fully breastfeed baby tau.....


Baiklah, ini saja untuk kali ini. Ada masa kita jumpa lagi. Baby dah nangis..Byeeeeee
 
posted by Miss Nukleas
Permalink ¤ 3 comments
Tuesday, March 04, 2008,1:38 AM
Jumpa Dina Najat Di Alamanda Putrajaya Sabtu-15 Mac 2008

Buat Peminat Dan Pembaca E-novel

Atau Yang Meminati Kisah Cinta Sejati

' Seteguh Kasih Aina Najihah'



Dina Najat


Akan Berada Di

MPH Alamanda Putrajaya


Pada

15-03-2008

( Hari Sabtu)

Jam 2-00 Hingga 4 Petang

50 Pembeli Novel Paling Awal

Akan Mendapat Hadiah Istimewa!!

Jumpa Di Sana............



 
posted by Miss Nukleas
Permalink ¤ 13 comments
Sunday, March 02, 2008,10:28 PM
Seteguh Kasih Aina Najihah - Sinopsis

Aina Najihah seorang gadis bertudung, berpendidikan Diploma Pengurusan Perniagaan dari UiTM Shah Alam, berusia sekitar 26 tahun. Sepanjang zaman kanak-kanak dan remajanya, dia membesar di rumah anak-anak yatim biarpun ada khabar-khabar angin yang mengatakan ibunya masih hidup dan berada di Indonesia.


Semasa meniti usia awal dewasa, Aina Najihah menyimpan perasaan cinta terhadap seorang warden asrama Anak-anak Yatim Darul Fikriyah iaitu Ameer Mulhim. Ameer Mulhim merupakan warden di asrama tersebut serta sedang melanjutkan pelajaran dalam Program Master Al- Quran Dan As- Sunnah di sebuah universiti tempatan . Biarpun sering bertemu atas urusan kebajikan namun mereka tidak pernah mengungkap perasaan masing-masing

Bersama teman serumahnya, Khairunnisa’ atau Roon, Aina Najihah berkerja di sebuah hotel yang di tadbir oleh Encik Khairul. Pergolakan di tempat kerja bermula apabila Encik Khairul tidak senang dengan Aina Najihah yang merupakan pekerja kesayangan ibunya, Puan Mawarni Hakimi. Aina Najihah sering dimarahi Encik Khairul sehinggalah berlaku satu konflik antara dirinya, Encik Khairul dan Tuan Mokhtar, pelanggan tetap Hotel Mawar Biru. Akibatnya, Aina Najihah telah dipecat dari jawatan Ketua Pegawai Pemasaran berdasarkan fitnah rekaan individu-individu yang cemburu dengannya. Aina Najihah tidak mudah patah semangat. Sejak itu Aina Najihah mula merancang bidang perniagaan yang ingin diceburinya.

Membesar sebagai anak yang tidak pernah menemui kedua ibu bapanya, menyebabkan Aina Najihah sering kesunyian dan menggendong pelbagai persoalan tentang sejarah silamnya yang masih tak terjawab. Bagi mengisi kekosongan hatinya, Aina Najihah sering melakukan kerja amal di Asrama Anak-Anak Yatim Darul Fikriyah. Setelah dipecat dari kerjanya, Aina Najihah berkerja di rumah anak yatim tersebut.

Pada suatu hari, Aina Najihah menerima ‘sms’ pelawaan dari Ameer Mulhim agar menemani dirinya dan makciknya untuk membeli barang-barang di Kuala Lumpur. Lantaran terlalu gembira dan mengandaikan Ameer Mulhim mungkin mahu memperkenalkan dirinya dengan makciknya ( Ameer Mulhim juga tiada ayah dan ibu) maka Aina Najihah bersiap-siap untuk pergi ke Kuala Lumpur .

Rupa-rupanya jangkaannya meleset. Rupa-rupanya Ameer Mulhim bakal bertunang dengan seorang wanita lain dan akan bernikah dalam masa dua bulan dari tarikh pertunangan. Sejak mengetahui berita itu, Aina Najihah berasa sungguh hiba dan kecewa. Aina Najihah berusaha melupakan Ameer Mulhim namun ternyata sukar.

Dalam masa yang sama, Aina Najihah didatangi seorang makcik yang mengaku pernah memelihara Aina Najihah semasa kecil. Makcik itu memulangkan seutas rantai lama kepada Aina Najihah kononnya rantai itu milik ibu Aina Najihah.

Sejak dari hari itu, Aina Najihah sering mengalami mimpi yang pelik. Dia juga mula sakit-sakit. Beberapa kali berubat dan pernah masuk hospital, akhirnya Aina Najihah bertekad mahu mencari ibunya sendiri di Medan Indonesia.

Pelbagai cabaran dilaluinya di Kota Medan.
*Namun, dapatkah Aina Najihah mencari ibunya?
*Bagaimana pula impian cintanya terhadap Ameer Mulhim? Adakah hubungan Ameer Mulhim dengan wanita pilihannya akan terus bahagia?
*Selain itu, adakah Encik Khairul akan tersedar dari kesilapannya memecat Aina Najihah kerana ikutkan rasa hati atau dia akan terus menganiaya Aina Najihah?
*Bagaimana pula dengan derita penyakit misteri yang menghantui Aina Najihah?
*Setelah dipecat dari Hotel Mawar Biru, Aina Najihah pernah bertekad akan membuka satu perniagaan? Tercapaikah hasrat murninya itu?

'Seteguh Kasih Aina Najihah' adalah sebuah novel kemasyarakatan dan kehidupan, juga menyelongkar masalah anak-anak yang tiada ibu dan bapa, membuka minda tentang kekuatan doa sebagai satu senjata mukmin, mengenengahkan bagaimana syaitan menganggu perjalanan hidup manusia, menjengah ke Kota Medan dan mengenali suasana masyarakat di sana, Seteguh Kasih Aina Najihah adalah sebuah novel yang sarat dengan kisah cinta sejati dan sarat dengan mesej yang membina minda dan rohani.


~
 
posted by Miss Nukleas
Permalink ¤ 2 comments
Tuesday, February 26, 2008,6:18 PM
Terbaru!!

Terimalah......................



Karya Terbaru Dina Najat 2008


' Seteguh Kasih Aina Najihah'

Terbit MAC 2008.



 
posted by Miss Nukleas
Permalink ¤ 2 comments
Wednesday, December 12, 2007,3:43 PM
Pengorbanan Dua Puluh Tahun Sengsara Dua Tahun
Sewaktu Dina menerima berita tentang Puan Hafsah ini, Dina sungguh terharu dan kalau dulu-dulu pasti menitis airmata. Namun sejak beberapa tahun yang lalu, berita-berita sedih sebegini masih sukar untuk membuatkan airmata ini bergenang. Entahlah, sudah habis stok agaknya.

Hari ini cerita yang ingin Dina bawakan agak sedih - memang akan sedih bunyinya. Kisah seorang ibu yang mempunyai lapan orang cahayamata. Tambahan- seorang suami. Dina pernah bertemu dengan Puan Hafsah hampir tiga tahun yang lalu dan kalau tak silap Dina, semasa itu dia datang berhari raya ke rumah abang Dina. Kami bersalaman tapi tidak banyak berbual-bual. Dina leka memerhatikan anak-anak Puan Hafsah yang ramai dan comel-comel belaka.

Apa pandangan Dina pertama kali bertemunya? Pastinya Dina mengagumi ketelitian Puan Hafsah menyiapkan anak-anaknya yang ramai itu. Biarpun anaknya bukan sedikit tetapi semuanya berpakaian kemas dan menarik di pandang mata. Semua anak-anak Puan Hafsah sopan dan tahu menjaga tata tertib di rumah orang. Puan Hafsah pula, biarpun berbadan agak gempal tapi memiliki kecantikan asli yang tersendiri. Untung sungguh suaminya kerana mempunyai anak yang ramai dan isteri yang tahu menghias diri.


Itu dulu- dua tiga tahun dulu. Ketika itu anaknya yang kecil berumur satu tahun. Hampir tujuh bulan selepas pertemuan itu, Dina dikejutkan dengan berita Puan Hafsah menghidapi barah payudara. Seluruh keluarga kami terkejut apatah lagi kami diberitahu keadaannya agak membimbangkan. Apa yang terdetik di hati kami ketika itu, bagaimana Puan Hafsah hendak mengharungi semua ini, sedangkan dia baru melahirkan anak ke lapannya?!


Sejak hari itu, banyak berita tentang Puan Hafsah yang Dina dengari. Antaranya, dia kerap melalui kemoterapi jadi anaknya yang baru berusia empat atau lima bulan terpaksa dijaga oleh orang lain yang diupah secara bulanan dan anak-anak Puan Hafsah yang tujuh orang lagi tidak terurus lagi seperti dulu. Puan Hafsah juga dikatakan menghadapi tekanan perasaan lantaran sukar menerima hakikat yang menimpa dirinya serta rambut-rambutnya banyak gugur akibat rawatan kemoterapi yang diberikan.


Sebagai seorang wanita dan juga ibu, Dina amat bersimpati dengan nasib Puan Hafsah. Apatah lagi bila mengenangkan anak-anaknya yang ramai. Hati Dina berasa sayu dan kalau ada kuasa magik, mahu saja Dina 'sembuh'kan penyakit Puan Hafsah. Tapi, apa boleh buat. Hendak beri kata-kata semangat pun Dina tak mampu. Maklumlah Dina jauh, dan Dina bukanlah rapat dengan Puan Hafsah. Hanya doa dan kata-kata dorongan kepada keluarga rapat Puan Hafsah ( yang juga keluarga Dina) agar sabar menghadapi ujian yang menimpa Puan Hafsah.


Itu setahun yang lalu. Kini, setelah beberapa lama tidak mengikuti perkembangan Puan Hasfah, Dina dikejutkan dengan berita yang amat memilukan. Puan Hafsah bukan saja disahkan mengidap barah payudara malah barah tulang pula. Khabar yang diberikan doktor, barah itu sudah mula menular ke otak. Tergamam Dina tatkala mendengar cerita dari keluarga rapat Puan Hafsah. Kenapa begitu getir dugaan hidup yang menimpa Puan Hafsah? Ya Allah, berikanlah Puan Hafsah kekuatan untuk menempuhi semua ini. Sembuhkanlah Puan Hafsah biarpun doktor berkata ' tak ada harapan'. Tak ada yang mustahil melainkan dengan izinMu Ya Tuhan.


Bak kata pepatah, 'sudah jatuh ditimpa tangga' maka begitulah keadaan Puan Hafsah. Anak kecilnya dipelihara orang lain, manakala anak-anaknya yang seramai tujuh orang itu dijaga suaminya. Sayang sekali, atau mungkin suaminya juga menghadapi tekanan maka entah mengapa, si suami sukar menghadapi ujian Allah ini dengan tabah. Bolehkah dikatakan berapa kerat sahaja lelaki zaman ini yang tabah? Atau memang ditakdirkan ramai wanita dilahirkan kuat semangat?


Apa yang Dina maklum, suami Puan Hafsah bagai melarikan diri atau menggelakkan diri dari berjumpa Puan Hafsah selalu dan jarang memberi kasih sayang atau sokongan moral kepada isterinya. Suaminya cuba menggelakkan diri dari bertemu Puan Hafsah di hospital. Puan Hafsah merasakan dirinya tidak disayangi dan serta tak mendapat sokongan dari suami yang pernah berkongsi hidup dengannya sehingga melahirkan lapan orang cahayamata. Selama hampir dua puluh dua tahun melayari hidup berumahtangga, inilah dia pancaran kesetiaan dan kasih sayang yang sejujurnya dari suami.


Saat isteri terlantar bertarung dengan kanser payudara dan kanser tulang, semasa badan yang dulunya berisi sudah tinggal tulang, saat mata yang dulunya bersinar cantik dengan alis mata yang lentik kini sudah terperesok ke dalam, kasih sayang suami semakin hari semakin tenggelam.


Mungkin banyak alasan yang boleh diberikan si suami mengapa dirinya cuba menggelak dari bertemu isterinya di hospital. Mungkin katanya, tidak sanggup menghadapi kesedihan yang mencengkam jiwa tatkala melihat si isteri yang lemah dan tak berdaya serta sudah bertukar rupa, mungkin juga kerana sibuk menguruskan tujuh cahayamata apatah lagi dengan beban kerja. Tapi sayang seribu kali sayang, jikalau inilah dikatakan kasih suami, kasihnya terlalu dangkal, terlalu cetek. Tidak layak lelaki ini memiliki seorang isteri yang telah melahirkan lapan zuriatnya di muka bumi.


Samada dia majistret, lawyer atau doktor, dia tak layak memiliki isteri setabah Puan Hafsah ( yang sedang bertarung dengan dugaan hebat di dunia fana'). Pastinya Puan Hafsah lagi tertekan berbanding dirinya kerana saban hari mengira detik masa bila ajalnya akan tiba, juga memikirkan anak kecilnya yang tidak dapat dipeliharanya apatah lagi merindui gelak tawa 7 anak-anaknya yang lain yang sebahagiannya sedang meningkat remaja serta merindui kasih suami yang hanya ada satu sahaja di dalam dunia. Apatah lagi ibu kandung Puan Hafsah sedang sakit tua dan tak boleh melawatnya di hospital


Buat Puan Hafsah, biarpun dirimu tidak kukenali secara rapat, tapi doaku untukmu agar Ilahi memberikan laluan mudah untukmu ke syurgaNya - jika inilah takdirmu di akhir usia, dan seboleh -bolehnya aku berharap kau akan sihat, segar dan menjadi Puan Hafsah yang pernah aku temui tiga tahun yang lalu di Aidilfitri.


Kadang-kadang diri terasa lemah tapi perlu cepat bangkit kerana ada wajah ceria yang membuatkan kita terasa dunia ini lebih bermakna dengannya.....Thaqif Bin Nabil.




Kadang kala terasa diri tidak kuat tapi cepat-cepat memohon pertolongan-Nya kerana ada gelak ketawa yang menyebabkan semangat kita menjadi setinggi angkasa.....Mulhim Bin Nabil.




...

 
posted by Miss Nukleas
Permalink ¤ 4 comments
Thursday, December 06, 2007,9:46 PM
Warkah Dari Isteri Yang Tertekan...
Buat Isteri Berkerja Yang Mempunyai Suami Yang Tak Memahami Asyik Menyuruh Itu Ini Dengan Memberi Alasan Isteri Kalau Rajin Dapat Pahala Nanti...Sedangkan Mereka Asyik Tengok TV........Wahai Isteri Berikan Mereka Serangkap Puisi



Ujar lelaki, wanita itu lemah
Ujar wanita, mereka adalah lembut
Antara lemah dan lembut.....besarnya perbezaan
Namun ada yang tidak rela mengakuinya
Telah ditakdirkan ...kerana lembut wanita
Tidak gemar perbalahan.. Kecuali jika terpaksa
Lalu wanita pun diam
Diam seolah-olah menerima...
Dalam diam, wanita gigih melaksanakan kewajipan
Dalam diam ,wanita terus terusan bekerja
Di pejabat sebagai kerani...di rumah sebagai suri
Dari sebelum tercalit garis putih di subuh Hari
Hingga jarum jam tegak bertindih jari









Lelaki yang mengaku kuat .celik mata sarapan sudah terhidang
Apabila pulang dari pejabat...di kerusi malas longlai terlentang
Isteri dikatakan lemah...bergelut di dapur memasak
Suami yang mengaku gagah...
Bersantai di hadapan TV tidak bergerak
Selesai memasak wanita menguruskan anak-anak
Menyapu sampah,mengemas rumah yang berselerak
Lelaki keletihan kerana memandu di jalan sesak
Berehat,menonton TV sambil tergelak




Dalam diam wanita dianggap lemah...
Terus berlumba dengan masa
Memandikan anak, melipat pakaian dan membasuh baju
Kakitangan semua digerakkan dengan laju
Menyiram pohon-pohon bunga yang mulai layu
Sebelum solat Magrib untuk sujud...
Menyembah yang Satu
Makanan dihidang selepas solat
Selesai kerja rumah,anak-anak diajar mengaji
Sedang suami tersadar semula seperti tadi
Sebagai isteri kesetiaan wanita sentiasa diuji

Dalam diam semua tugas rumah segera dibereskan
Lelaki terpelajar celik hati...

Ingin menghapuskan diskriminasi
Lantang membela nasib wanita....
Memberi kesedaran supaya segera bangkit
Meminta lelaki jangan lagi memperlakukan wanita mengikut adat tradisi
Kerana dulunya wanita hanya menjadi suri.

Hukum agama telah termaktub
Tugas suami jangan cuba ditutup
Membasuh pakaian,menyediakan makanan
Jika suami tidak terdaya melakukan
Seorang pembantu wajar disediakan
Lelaki yang hanyut dalam keasyikan
Tidak mampu menerima perubahan
Rela bertahan bagaimana jua
Asalkan cara hidup tradisi terus dinikmati

Dalam diam
Wanita yang sering dianggap lemah
Meneruskan hidup dalam segala kekuatan

'KeKaYaaN YaNg PaLiNg KaYa iaLaH AKAL,
KeMiSkiNaN YaNg PaLiNg BeSaR iaLaH JAHIL,
KeBuRuKaN YaNg PaLiNg HoDoH iaLaH SESAT'



Tak perlu mencari teman secantik BALQIS,
Jika diri tak seindah SULAIMAN,
Mengapa mengharap teman setampan YUSUF,
Jika kasih tak setulus ZULAIKHA,
Tak perlu diri menjadi seteguh IBRAHIM,
Jika tak sekuat SARAH,
Mengapa didamba teman hidup seistimewa KHADIJAH,
Jika diri tak sesempurna RASULULLAH S.A.W,

Tak guna Ada MATA kalau tak dapat MELIHAT,
Tak guna Ada HATI kalau tak tau MENILAI......

Dina: Buat lelaki yang bersikap seperti ini, anda hanya meneruskan tradisi agar anak-anak perempuan anda juga akan dibuat seperti hamba abdi. Beruntunglah jika memiliki suami yang menghargai wanita, yang menyayangi anda seikhlas hati bukan mengambil kesempatan dengan memomokkan telinga tentang pahala dan dosa. Wanita bijak tak mudah diperdaya dan wanita beriman akan berjuang bersama-sama suaminya hingga akhir usia demi kejayaan keluarga.Terima kasih kepada suamiku yang menghargai diri ini. Juga Kak Ain yang memberi puisi ini, siapa penulisnya ya?? Saya minta izin menempelnya dalam blog saya.
 
posted by Miss Nukleas
Permalink ¤ 4 comments
Wednesday, December 05, 2007,7:04 PM
'Seteguh Kasih Aina Najihah' Selesai



Apa lagi yang paling menggembirakan seorang penulis novel. Jawapannya adalah karya yang diusahakan berbulan-bulan akhirnya telah siap dihasilkan. Seperti orang yang baru disahkan mengandung setelah menunggu bertahun lama, maka begitulah bahagianya perasaan ini.

Namun seperti juga orang yang disahkan mengandung, saat-saat mengetahui jantina anak juga satu episod yang mendebarkan. Begitu juga dengan saat-saat kelahiran.

Maka seperti itulah berdegup kencangnya perasaan penulis apabila menanti saat buku dicetak dan dipasarkan. Mudah-mudahan penerbit dapat melaksanakannya dengan lancar. Dan, episod seterusnya juga tidak kurang menggetarkan sanubari. Sebagai penulis sudah pasti ingin tahun reaksi pembaca terhadap karya terbarunya.

Seperti juga anak, ramai yang nak tahu anak yang baru lahir ini ikut muka siapa, dah pandai buat apa?

Walau apa pun, Dina cuba berusaha yang terbaik untuk memberikan buah tangan yang terbaik. Kali ini Dina mementingkan ketepatan maklumat dalam novel serta jalan cerita yang kuat. Mudah-mudahan ia tidak mengecewakan. Setelah berusaha dan berdoa. Akhir sekali bertawakkal.





Oleh yang demikian terimalah ................


Sebuah kisah perjuangan

Sebuah cinta yang menuntut pengorbanan

Sebuah masa silam yang terpaksa dibongkar......

Bersama menyelusuri derita

Mengesat titis airmata

Seorang AINA NAJIHAH

Dalam .................'Seteguh Kasih Aina Najihah'


Bakal Berada Di Pasaran Pada 2008.
 
posted by Miss Nukleas
Permalink ¤ 4 comments