Kerana hati manusia bertopeng di muka. Faham tak? Jangan bingung ya. Nanti Dina terangkan.
Dalam menempuhi perjalanan hidup ini, Dina dikejutkan dengan satu 'siren' yang menyerlahkan sifat-sifat manusia sebenar. Tamak, ingin berkuasa, takut kehilangan sehingga sanggup menganiaya, mahu dihormati biarpun terpaksa menyembunyikan kebusukan perangai yang mana kalau orang tahu, pasti semua tepuk dahi. Ini semua menginsafkan Dina. Dina berdoa agar tidak menjadi manusia seperti itu. Penghormatan dari manusia tidak perlu dikejarkan, ia akan datang sekiranya kita benar-benar layak untuk disegani.
Namun, hidup pun bukannya akan menjadi tunggang langgang jika tidak disanjungi.
Teringat Dina akan sebuah frasa, " Mati bukan kerana keji, hidup bukan kerana puji".
Dan, berpegang dengan frasa tersebut, ingin sekali Dina melihat setakat mana kekuatan diri melalui liku-liku hidup tanpa memakai 'topeng muka'.
Apa yang Dina maksudkan dengan topeng muka adalah tanpa mengamalkan sikap berpura-pura, bermuka-muka dan bersandiwara demi menampakkan diri gah, baik dan terhormat.
Jadilah diri sendiri yang sebenar, mana sikap yang buruk kita baiki. Mana yang sudah busuk, kita gantikan yang baru. Segala sifat-sifat mazmumah kita buangkan perlahan-lahan dalam jiwa kita. Kita serikan hati dan diri dengan koleksi sifat-sifat mahmudah. Bukankah kita insan biasa? Tidak maksum dari segala dosa. Allah s.w.t Maha Mengetahui dan Maha Pengampun. Mana yang dah tersalah, kita cuba jangan ulangi.
Sesungguhnya, tiada manusia yang sempurna. Ada antara kita yang bersifat pemarah, ada yang bersifat pemalu dan ada juga yang bersifat pendiam. Semuanya menambahkan rencah watak kehidupan. Itu lumrah. Fitrah manusia untuk mempunyai kelebihan dan kekurangan.
Namun berhubung perkara sikap, seperti dengki, dendam, riak dan tamak semua itu adalah senjata yang cuba ditiupkan syaitan ke dalam diri manusia.Jika kita lemah dan lalai, hanyutlah kita dalam perangkap perasaan ini. Natijahnya, manusia itu akan menghancurkan manusia yang lainnya samada secara perlahan-lahan atau terang-terangan.
Sebagai contoh, kalau si penjahat yang kurang berilmu maka dia akan menghancurkan manusia dengan cara merompak atau mencuri untuk kaya.
Bagi penjahat yang licik dan berpelajaran, maka dia akan memusnahkan manusia secara berstrategi contohnya melalui penyalahgunaan kuasa, undang-undang yang tidak adil, menidakkan hak seseorang dan rancangan strategik berbentuk tekanan dan ugutan.
Bagi penjahat yang bijaksana pula, mereka tidak perlu menunjukkan diri. Cukup dengan menggunakan orang sekeliling untuk memainkan peranan mereka sehingga matlamat mereka tercapai biarpun melalui cara yang berdosa dan keji.
Biasanya, kategori penjahat yang kedua dan ketiga itu suka memakai topeng muka.
Namun, ada pula manusia yang terpaksa bertopeng muka kerana demi sesuap nasi. Jika tidak, susah benar hendak memenuhi keperluan hidup yang semakin mendesak. Barang-barang semua dah mahal. Kalau perlu bermuka-muka kerana tuntutan kerja, diteruskan jua lakonan. Namun kalau ada jalan keluar, segeralah berpergian dari situ. Ada pula hendak tak hendak, terpaksa berpura-pura suka dengan majikan atau kawan-kawan sekeliling. Semuanya kerana terpaksa. Mungkin yang ini boleh dikategorikan sebagai darurat. Wallahualam.
* Dina: Berusaha selagi boleh menolak pemakaian topeng muka selagi nyawa di kandung badan. InsyaAllah.