Thursday, June 14, 2007,1:45 AM
Mengemis kasih............. ( The Zikr)

Tuhan dulu pernah aku menagih simpati
Kepada manusia yang alpa jua buta
Lalu terheretlah aku di lorong gelisah
Luka hati yang berdarah, kini jadi kian parah
Semalam sudah sampai kepenghujungnya
Kisah seribu duka kuharap sudah berlalu

Tak ingin lagi ku ulangi kembali
Gerak dosa yang menghiris hati

Tuhan dosaku menggunung tinggi
Tapi rahmatMU melangit luas

Harga selautan syukurku
Hanyalah setitis nikmatMu di bumi

Tuhan walau taubat seringku mungkir
Namun pengampunanMU
Tak pernah bertepi

Bila selangkah ku rapat padaMU
Seribu langkah kau rapat padaku

( Rasanya asal lagu ini dari kumpulan Nada Murni, tapi sering dinyanyikan semula oleh beberapa kumpulan nasyid baru. Liriknya, sungguh menyentuh jiwa dan mengingatkan kita betapa manusia itu mudah lupa, dan betapa Allah s.w.t itu sangat sayang kepada hamba-Nya. Hanya, jangan sampai kemurkaan Allah s.w.t itu datang seandainya perjanjian taubat seringkali kita khianati.)




 
posted by Miss Nukleas
Permalink ¤ 0 comments
Wednesday, June 13, 2007,2:25 AM
Sajak: Kenangan Abadi
Selagi ia bernama kenangan
Tetap segar di rimba ingatan
Kenangan mengamit rindu dan sepi
Memaksa diri mengigaui mimpi

Kenangan itu sukar kulupakan
Biar dicuba disungguh-sungguhkan
Selagi ia bernama kenangan
Kemanisan kepahitan mengusik perasaan

Antara kemanisan
Ada bibir tersenyum
Antara kepahitan
Ada kesedihan menguntum

Selagi ia bernama kenangan
Kerinduan kesyahduan bermain di ingatan

Ada kenangan pernah dilalui
Tentang persembahan kasih nan sejati

Kerna pengorbanan yang diberi
Bergalangkan nyawa dan harga diri
Dan keutuhan jiwanya sesuatu yang pasti

Malah terbukti
Terlalu istimewa sekali

Lantas menjadikan kenangan yang satu ini
........................................................................sebagai abadi

Dina Najat (1994)
Diberi nafas baru pada..hari ini.

 
posted by Miss Nukleas
Permalink ¤ 0 comments
Monday, June 11, 2007,5:35 PM
Sahabat............Cerminan Diri
Sesuatu yang amat dalam....sungguh jauh tersembunyi di dasar hati bila berbicara tentang sahabat. Dina sempat merujuk kamus dewan yang membawa maksud sahabat sebagai orang yang dikenali rapat dan disukai tetapi bukan bersaudara dengannya.

Namun untuk Dina sendiri, maksud sahabat itu terlalu spesifik. Dalam bayangan fikiran Dina, sahabat adalah insan yang akan datang pada kita apabila kita diri ini ditimpa kesusahan dan memerlukan bantuan ( bukan datang secara fizikal semestinya..), insan yang padanya tidak perlu kita merayu-rayu demi menghulurkan pertolongan tatkala diri tersepit, buntu dan menagih sokongan. Justeru itu, betapa pentingnya peranan seorang sahabat maka boleh Dina katakan, ya....Dina memilih sahabat. Kriterianya....bukan orang yang cantik, bukan seharusnya kaya, dan bukan semestinya popular di kalangan rakan-rakan.

Peribadi dan hati....sekali lagi Dina ungkapkan di sini, 'hati'. Pada insan yang digelar sahabat itu, dia tidak lokek berkongsi pengalaman, dia akan memberi kita kekuatan tatkala kita lemah dan tak berdaya, dia tidak sanggup melihat kita jatuh! Dia mahu kita bangun, berjaya dan berdiri lebih baik, mungkin lebih baik dari dirinya.

Alhamdulillah, mungkin berkat doa ibu bapa dan juga orang yang terdahulu dalam keluarga Dina, Dina tidak mudah terpengaruh dengan kawan-kawan. Biarlah dikata 'lone ranger', tidak perlu apa hendak dimalukan berbanding jika ter'ikat' dalam sekumpulan kawan-kawan yang membawa kita mengenal erti 'buang masa' dan 'bersuka-suka'. Dua perkara yang Dina yakin tentang kegagalan remaja Melayu cemerlang dalam pelajaran di kampus, ( melalui pemerhatian....betulkan jika ada hujah-hujah kukuh untuk membantah pendapat ini) adalah kerana, berkawan dan bercinta. Tohmahan yang mengatakan politik kampus sebagai penyebab mahasiswa/i mengabaikan pelajaran, terlalu bersifat prejudis dan amat kecil sangat nisbahnya jika dibandingkan dengan yang gagal kerana asyik maksyuk bercinta atau leka mengikut rentak kawan.( mungkin kerana tidak mahu dianggap tersisih).

Berbalik kepada sahabat, renungkanlah pepatah ini, 'judge a person by looking at their friends'. Juga sebuah pepatah arab, “Bersahabat dengan penjual minyak wangi, kita akan menerima percikan wangiannya, manakala bersahabat dengan tukang besi, percikan apinya akan mencarikkan baju kita.”

Maka itu, buat adik-adik remaja di luar sana, pilihlah sahabat atau teman yang terdiri dari manusia-manusia berakhlak baik, yang mana ketika anda di zaman persekolahan mahupun di kampus, perbualannnya lebih banyak berkisar tentang peperiksaan, markah, meningkatkan CGPA, buku-buku rujukan yang bagus serta tentang masa hadapan.

Seandainya perbualan lebih banyak berkisar tentang baju baru, koleksi teman lelaki, skandal para artis, cinta dan airmata.............nasihat Dina, jauhilah mereka secara perlahan-lahan. Jika tidak, kejayaan akan menjauhi anda.

Memiliki seorang sahabat dan pernah menghadapi kesusahan bersama, menangis bersama dan sama-sama membangunkan jiwa yang diinjak-injak oleh orang sekeliling, merupakan kenangan yang tidak mampu Dina lupakan sampai bila-bila. Mungkin sehingga akhir hayat. Mungkin akan Dina ceritakan kepada anak cucu Dina ( jika panjang umur...InsyaAllah ) betapa bermaknanya sebuah persahabatan Dina dengan si dia yang Dina panggil El.

Lebih sepuluh tahun yang lalu, Dina mempunyai satu kumpulan kawan rapat yang terdiri daripada empat orang termasuk Dina. Dina dan M duduk bersebelahan. A dan Z duduk di barisan hadapan kami, juga merupakan barisan paling hadapan dalam kelas. Sewaktu itu, Dina di tingkatan 4 & 5. Kami berempat sering berlumba-lumba, 1) Berlumba siapa siap kerja sekolah paling cepat ( Dina tak mahu kalah, jadi bila ada masa lapang terutama cikgu tak masuk, kami akan berlumba-lumba siapkan kerja sekolah) 2) Bersaing siapa dapat markah paling tinggi.

Mungkin itu antara faktor yang menyebabkan kami berempat selalu berada di tangga teratas keputusan peperiksaan mid-term dan final term, di kelas.

Tapi ketiga-tiga kawan Dina ( yang sehingga kini sangat Dina sayangi) tidak boleh disamakan dengan El. El satu nama yang mampu membuatkan Dina menitiskan airmata bila mengenangkan seajarah yang pernah kami lalui bersama. El dan Dina bagai kutub utara dan kutub selatan. Dina bertudung, El free hair. Dina tidak pandai berkawan dengan lelaki, El sudah berteman lelaki sejak masuk Tingkatan Empat. El dari aliran sains yang cukup meminati matapelajaran matematik sedangkan Dina taksub dengan karya-karya sastera serta matapelajaran sejarah. Perkenalan kami bermula di kelas tuisyen. Kami sama-sama menghadiri kelas tuisyen luar untuk subjek matematik. Perkenalan kami bertambah erat kerana kami mempunyai satu persamaan. Mungkin boleh dikatakan di sini, keikhlasan dan sama-sama ingin memburu kejayaan.

Persahabatan kami menimbulkan rasa cemburu salah seorang kawan Dina yang tiga itu. Mungkin kerana merasakan hubungan Dina dan El sungguh akrab, ber'aku' 'engkau' sedangkan dengan yang lain, ber'saya' dan 'awak'.
Masih segar di ingatan Dina, tiap kali habis sekolah, Dina akan pergi ke surau untuk solat Zohor dan kemudian menyelesaikan kerja sekolah di perpustakaan. Tepat jam 2.30 petang, El akan tertonggok di bangku kecil bersebelahan dengan perpustakaan, dan di situlah Dina akan bertanya El apa jua soalan-soalan matematik yang Dina tidak dapat selesaikan, serta Dina selalu minta El ajarkan Dina tentang algebra. ( Entahlah.....Dina minat sungguh dengan matematik tetapi agaknya sudah takdir, Dina susah benar nak faham formula terbaru matematik.) jadi dengan sabar, El akan mengajar Dina sampai Dina faham. Pastinya El tak akan lupa, reaksi Dina bila dapat jawab soalan matematik dengan tepat. Gembiranya, hanya Tuhan yang tahu.

Begitu juga El, pasti Dina akan mengajarkannya mata pelajaran Sejarah dan bahasa Melayu. Dina kan bercerita tentang sejarah-sejarah zaman Melaka, Portugis sehingga pasca kemerdekaan Tanah Melayu, Malayan Union, Parti-parti politik di Sabah dan Sarawak serta tentang bagaimana hendak menjawab soalan sejarah dengan baik. bahasa Melayu pula, seperti biasa, tolong El buat karangan.

Berbulan-bulan kami belajar bersama sampaikan kebanyakan pustawakan yang nampak Dina, akan bersuara, " Eh, tadi nampak El kat luar lah", " Er..Dina cari El ke?" atau " Dah jumpa El dah?"

El tidak banyak bercerita tentang keluarganya tetapi selalu bercerita masalahnya dengan teman lelakinya. Antara masalah genting, bila teman lelakinya suruh El bertudung. tension sungguh El. Setelah Dina memberi nasihat kepada El, akhirnya dia betudung ( okeylah...tapi sekejap tutup sekejap bukak ).

Namun segala kerja kuat kami, ternyata membuatkan El jatuh terduduk apabila keputusan SPM keluar. Sebagai kawan, Dina hanya mampu memberi kata-kata semangat buat El. Tapi Dina sedar, berat mata memandang berat lagi bahu yang memikul. Dina diumumnkan sebagai pelajar terbaik sekolah manakala El gagal...SAP dalam SPM. Masih jelas dalam memori, Dina dan El sama-sama berjalan di tepi kantin sekolah setelah mengambil slip keputusan SPM. El berkata, " Aku rasa tak layak jalan dengan kau lah, kau best student tapi aku SAP. Kau faham tak apa yang aku rasa?" Sedangkan tiada istilah malu bagi Dina bila bersama El. Hatinya, kelembutan bicaranya tiada pura-pura membuatkan Dina senang berkawan dengannya.
Di saat Dina sedang merangka hendak melanjutkan pelajaran ke matrikulasi, El bergelut dengan kesedihan dan sindiran teman-teman. Dina faham, dan sejak itu El jarang benar mahu menghubungi Dina.

Apa nak buat, tiba masa Dina terpaksa melangkah pergi. Meninggalkan El di bumi Batu Pahat biarpun kenangan bersama El tetap Dina bawa ke mana-mana sehingga akhir hayat, InsyaAllah. Di bumi UKM Bangi, Dina sibuk menjalani program Minggu Suai Kenal. Penat tapi seronok tidak terkira. Jadual yang ketat memaksa nama El terlucut dalam fikiran selama dua minggu. Tup..tup surat el datang. El menceritakan betapa getirnya dia di saat ini. Menghadapi tentangan keluarga yang tidak bersetuju dengan niat El untuk mengulang. Yang memperlekehkan hasrat El untuk masuk sekolah swasta. Dari bait-bait ayat di dalam surat itu, Dina dapat merasakan semangat El yang masih ada bakal luntur dengan tekanan-tekanan yang dihadapinya. Pinta El, ' berikan El semangat Dina, hanya Dina yang faham perasaan El. Berilah El sokongan setelah semua teman-teman yang lain menjauhkan diri? El tak punya sesiapa lagi walaupun keluarga sendiri...Ibu El minta El tolong dia setiap pagi buat kuih dan jual kuih luar kawasan pejabat. El nak belajar lagi Dina.....El nak belajar. '

El!! Dina tersedu keseorangan. Menitis jua airmata di atas lembaran surat dari El. Perlahan-lahan, Dina membalas surat dari El. Beberapa pertanyaan Dina ajukan kepada El ( reverse psikologi ) bertujuan membangkitkan kesedaran dan semangat El. El terima surat itu dengan hati yang gembira. Dari situ perlahan-lahan hubungan kami mulai akrab semula biar pun jarak jauh.

Setahun kemudian, Dina dapat khabar dari El, dia menjadi pelajar terbaik sebuah sekolah swasta ( untuk pelajar-pelajar yang mengulang) dan tidak lama kemudian El memasuki program matrikulasi. Seterusnya El berjaya memasuki sebuah universiti ( dan teman lelakinya yang masih setia sanggup menunggu El serta mengikat tali pertunangan dengan El ). Kini, El telah memegang Sarjana Muda Ekonomi dan tahniah El, engkau kahwin jugak dengan dia dan bahagia dengan kehadiran 2 orang putera yang lincahnya...huhhh bukan main.

Mahu tahu kerja El? Seorang pegawai di sebuah bank terkemuka di Malaysia. Dan El yang Dina kenali, masih tidak pernah mengalah untuk menambah ilmu di dada. El masih seperti dulu, yang ikhlas hatinya dan yang positif dalam semua hal.

Persahabatan ini semakin bermakna, bila Dina diuji dengan satu ujian yang cukup menggetirkan. Ujian yang mampu meragut kebahagiaan Dina dalam sekelip mata. Fitnah dan adu domba manusia, hebat sungguh penangannya. Tapi Dina bersyukur,El masih ada untuk mendengar rintihan Dina yang sudah tidak berdaya kala itu. El menjadi pembakar semangat Dina. Kata-kata El Dina pegang ......antaranya, ' Dina, diam sahaja. Jangan berkata apa-apa. Jangan balas walau sepatah ayat. Dia memang mahu memukul gendang agar kau menari mengikut rentak irama yang dirancangnya. Diam dan bersabarlah kerana tika dan masa akan menentukan kebenaran."

Terima kasih El. Jika ini dikatakan sahabat, terima kasih sahabat yang kusayang. Nasihatmu yang kugenggam, membolehkan kebahagiaan ini kupertahankan sehingga hari ini.

Mungkin jarak dan masa memisahkan Dina dan El tetapi, tiada keraguan lagi terhadap keikhlasan seorang sahabat dalam menerima sahabatnya seadanya. Bukan harta, bukan rupa dan bukan populariti semata...

* sahabat, sukar untukku cari tetapi jika telah kutemui namanya akan tetap utuh di hati ini sampai mati.
 
posted by Miss Nukleas
Permalink ¤ 2 comments
,5:04 AM
Dia Yang Kulihat
Dia yang kulihat
Seorang wanita tabah
Sukar untukku menyukat
Setakat mana utuh jiwanya merentasi lurah-lurah
Hidup yang selalu berdarah

Dia yang kulihat
Masih cantik masih muda
Biarpun usianya tiga puluh empat
Tanpa perlu secalit krim anti penuaan

Dia seharusnya berbangga ..

Dia yang kulihat
Adalah ibu kepada enam cahaya mata
Yang ayahnya jauh merempat
Dek bahana dadah berbahaya
Meninggalkan dia bersama permata berharga
Setelah harapan itu tercipta ketika inai merah dijari
Kini hancur...bersepai...menyembah bumi...

Dia yang kulihat
Seorang wanita tabah yang sukar menumpahkan airmata
Biarpun rentetan hidupnya

Mampu membuat seseorang gila
Tapi itu orang lain....bukan dia...

Kerana dia yang aku lihat
Telah berkata....
" Saya tak akan mengalah pada takdir...dik!"

Pada 'dia yang kulihat',
Aku bersuara....
"Kau tak akan keseorangan wahai kakak yang hebat!"

-Dina Najat-


 
posted by Miss Nukleas
Permalink ¤ 0 comments
Saturday, June 09, 2007,11:20 PM
S.K.A.N .....Dina Akhirnya Kembali
Gembiranya hati tidak dapat diluahkan dengan kata-kata (sebagai penulis memang Dina lebih selesa meluahkan dengan baris-baris ayat sahaja).
Kini setelah sebulan meninggalkan Seteguh kasih Aina Najihah, e-novel Dina yang pertama kerana memberi laluan kepada karya kanak-kanak, akhirnya Dina kembali pula ke pangkuan SKAN.
Gembira, seronok dan tak sabar-sabar hendak meneruskan SKAN yang baru siap 30% sahaja. Perjalanan hidup heroinnya, Aina Najihah masih jauh..masih panjang, penuh dengan onak dan duri. Aina Najihah akan meninggalkan Malaysia, mencari cerita tentang sejarah keluarga di Medan, Indonesia. Menyelesaikan satu misteri hidup yang membuatkannya menderita. Justeru itu banyak yang harus Dina lakukan. Mengkaji peta Medan Indonesia, bahasanya, masyarakatnya mendapatkan sumber cerita tentang suasana Medan dan seterusnya membawa Aina Najihah pulang semula ke Malaysia demi menyambung perjuangannya yang masih belum selesai.
Dalam novel kali ini, Dina akan memasukkan elemen syair pula. Semoga proses penulisan SKAN berjalan lancar dan dapat diselesaikan mengikut jadual yang dipersetujui bersama penerbit. Mudah-mudahan....InsyaAllah.
 
posted by Miss Nukleas
Permalink ¤ 0 comments
,7:35 AM
Tahniah Kaki Novel ...Tahniah Izzul Izzati...
Tahniah Kaki Novel
Kerna sudah dua tahun menerbitkan buku
Kerna melahirkan novel-novel cinta abad dua puluh satu
Kerna membenarkan impianku berlaku
Kerna terus bertakhta sebagai penerbit pilihanku
( mudah-mudahan terus begitu!)
Kerna mengizinkan persahabatan novelis2mu bagai isi dan kuku.
Tahniah Izzul Izzati,
Kerna telah berkarya dua kali,
Kerna melahirkan CLB yang terus diminati
Kerna mencetuskan KSK yang kini dinanti
Kerna menulis dengan sepenuh hati.
Tahniah buat kesekian kali,
Untuk Kaki Novel dan Izzul Izzati,
Yang satunya bakal menyambut ulangtahun syarikat kedua kali
Yang satunya bakal menyambut karya kedua tak lama lagi.
* Dina : Jumpa nanti di meja pendaftaran majlis tu ya.
Salam sayang,
Dina Najat
 
posted by Miss Nukleas
Permalink ¤ 2 comments
Thursday, June 07, 2007,11:43 PM
Novel Untuk Dihadiahkan Kepada Penghuni Raudhatus Sakinah
Kepada penulis-penulis novel yang berminat,

Satu program kecil-kecilan sedang diadakan iaitu menghantar novel remaja/ dewasa kepada penghuni Raudhatus Sakinah ( raudatussakinah.jim.org ), iaitu Pusat Jagaan dan Bimbingan Untuk Remaja berumur dalam lingkungan 12-25 tahun, yang mana mereka kebanyakannya telah tersasar jauh dalam mengharungi kehidupan, dan mereka kini dibimbing oleh sekumpulan insan yang prihatin untuk kembali ke pangkal jalan dan menjadi insan yang lebih berjatidiri serta berilmu.
Justeru itu, sesiapa yang sudi, bolehlah menghantar novel anda kepada Dina untuk diberikan kepada Pusat Bimbingan tersebut, sebelum akhir bulan Jun ini. Penulis juga digalakkan menulis kata-kata nasihat dan motivasi di novel mereka sebagai autograf untuk para penghuni rumah tersebut.
Kriteria novel hendaklah, tiada unsur-unsur lucah, tiada unsur-unsur hubungan lelaki perempuan yang bebas dan tidak mengikut syariat Islam, mempunyai mesej yang jelas dan baik, lebih digalakkan jika novel tersebut banyak mendidik jiwa, memberi kesedaran serta mendekatkan diri kepada Allah s.w.t.
Untuk itu, Dina ingin mengucapkan jutaan terima kasih kepada penulis Noor Suraya atas kesudian Kak Su menyambut baik usaha kecil ini. Terima kasih kepada sesiapa yang berminat untuk menyumbang karya mereka dan mudah-mudahan usaha ini akan memberi kebaikan kepada remaja-remaja di Raudhatul Sakinah dan InsyaAllah, akan mendekatkan diri kita semua kepada rahmat Allah s.w.t.
Sebarang pertanyaan dina2jat@yahoo.com .
Terima Kasih.
 
posted by Miss Nukleas
Permalink ¤ 0 comments
Wednesday, June 06, 2007,8:36 AM
'Kehilangan' Di Lebuh Raya Puchong-Sg. Besi
Ada sesuatu yang ingin Dina kongsi bersama anda. Pengalaman ini bukanlah terlalu menarik tapi ianya membuatkan Dina berfikir tentang kesan sebuah kehilangan.
Peristiwanya 'simple' saja. Suatu hari, suami Dina membeli kereta baru di sebuah kedai kereta di Puchong( sebelum jumpa IOI Mall). Lantaran tidak mahu menyusahkan orang lain, suami Dina mengesyorkan kami menaiki kereta bersama hingga ke tempat jualan kereta tersebut, dan tiba di sana nanti Dina akan membawa kereta lama dan mengekori suami Dina yang akan membawa kereta baru.
Biarpun Dina sedikit gementar ( maklumlah baru dapat lesen dua bulan sebelum tu, dan selalunya pun Dina bawa kereta sekeliling Bandar Bangi. Taulah Bangi, jalanraya yang lebar-lebar tu, bila memandu macam jalan tu kita yang punya ) tapi Dina kuatkan semangat juga. Humm....entahlah. Mungkin dalam hal nak kuatkan semangat, pun kena tengok tempatnya. Apa tidaknya, hari tersebut hari Isnin. Waktu kami memandu pulang ke Bangi, jam menunjukkan pukul enam setengah petang. Jadi sesiapa yang pernah menggunakan jalan raya utama Puchong ke Sungei Besi, pasti faham keadaan lalulintas di sana.
Kalau buat pertama kali menempuh jalan sebesar Puchong dan dalam keadaan lalulintas sesak ( waktu orang balik kerja...memang nak cari nahas!), Dina puashati juga dengan semangat yang ada. Suami Dina pun memuji, katanya Dina berani. Tetapi bukan itu masalahnya....
Jam sudah menunjukkan pukul 7.30 malam. Suasana bertambah gelap. Lalulintas masih lagi sesak. Dina dan suami terperangkap dalam hiruk pikuk kenderaan yang cuba menyelit-nyelit, tak termasuk bas-bas kilang dan lori. Dalam pada asyik memandu, tiba-tiba Dina tercari-cari kereta suami Dina. Mana? Erkk...dah ke depan ke? Alamak....
Oh! Itu dia. Sebaik sahaja Dina terpandang kereta suami di barisan yang sama, hati Dina kembali lega. Tapi hanya untuk beberapa ketika. Setelah merasakan Dina tersilap kereta kerana warna dan jenis kereta di hadapan Dina itu sama dengan kereta suami, Dina tiba-tiba jadi gelabah. Jari-jari tangan yang menggenggam stereng kereta terus sejuk dan berpeluh. Perut Dina tiba-tiba sakit. Kaki yang memijak pedal minyak dan brek tidak bermaya. " Abang...di mana abang?!" Hati Dina menjerit-jerit. Dina tak tahu, hendak ikut arah mana. Di kiri kanan, ada beberapa simpang susur keluar ke Putrajaya, Nilai dan bermacam lagi arah.
Dalam kekalutan itu, tiba-tiba Dina terfikir. Ini baru kehilangan di lebuhraya, kelibat suami yang memandu arah perjalanan Dina tiba-tiba hilang dan Dina sudah tidak tentu arah. Bagaimana pula orang yang mengalami kehilangan kekal? Bukankah mereka itu lebih parah? Jadi apa harus Dina buat? Melayan perasaan takut dan gementarkah? Nah! Perlahan-lahan Dina bagai diberi ilham. Sekiranya tiada sesiapa di samping kita, Allah swt itu sentiasa ada. Allah swt sahajalah tempat kita harus menyandarkan harapan. Bukannya bergantung nasib sepenuhnya kepada makhluk Allah swt sendiri.
Ya, Allah swt itu akan tetap bersama Dina. Dina membulatkan tekad. Tiada apa harus Dina gentarkan jika Dina sudah berdoa dan berharap. Dina seharusnya bertawakkal. Akhirnya Dina teruskan pemanduan. Fikiran Dina kembali tenang. Entah bagaimana, sayup-sayup satu perasaan yakin menerobos masuk ke hati Dina. Dina kembali rancak memandu, dan akhirnya berdekatan dengan simpang ke Kajang, Dina ternampak kereta yang dipandu suami Dina berada di tepi jalan. Tunggu Dina lah tu.
Huhh...lebih tujuh kilometer Dina memandu keseorangan. Rupa-rupanya Dina boleh juga sampai. Dina bersyukur sangat. Suami Dina pun terkejut dan tak menduga si pemegang lesen baru dua bulan ini dah memandu di kawasan yang asing dan ditengah-tengah kesesakan lalulintas yang kronik.
Malam itu Dina katakan pada suami Dina, ' biarlah Dina hadapi kehilangan atas jalanraya seperti petang tadi tapi janganlah hilang dalam hidup Dina kerana banyak lagi yang harus kita lalui bersama sepanjang perjalanan hidup ini'.
* Dina: Kehilangan itu memang memedihkan. Melayani perasaan kehilangan adalah memanjangkan lagi tempoh yang memedihkan itu.
 
posted by Miss Nukleas
Permalink ¤ 0 comments
Tuesday, June 05, 2007,6:01 PM
Kes Lina Joy...Menang Dalam Kalah?!
' Amat pelik dan melucukan apabila kita melihat sebahagian besar umat Islam menanti-nanti keputusan tersebut ( Kes Lina Joy) seolah-olah ianya suatu perkara yang besar sedangkan isu yang paling besar dan perlu diberikan perhatian ialah Lina Joy itu sendiri. Dia sudah murtad. Apakah dengan keputusan mahkamah itu yang tidak mengizinkan nama Islam pada mykad Lina Joy di tukar bermakna Lina Joy itu masih Islam? Ingatlah, Lina Joy sudah murtad. '
Begitu petikan yang Dina baca dalam surat kepada pengarang di Harakah Daily.Hakikatnya, Dina bersyukur kerana kuasa membicara kes-kes di Mahkamah Syariah tidak berpindah ke mahkamah sivil, satu keputusan yang memberi nafas kepada undang-undang Islam yang sememangnya hampir lumpuh di Malaysia.
Namun di sebaliknya, kita harus mengkaji, apa perlu kita lakukan bagi memastikan mereka yang mengucap dua kalimah syahadah terus berpegang kepada kalimah itu dan kes-kes seperti Lina Joy ini tidak terus bercambah bagai cendawan selepas hujan. Itu lebih penting bukan daripada berhimpun di hadapan mahkamah setiap kali kes Lina Joy dibicarakan? ( Dina tidak meremehkan usaha mereka yang berkumpul di hadapan mahkamah, tapi cuma mengatakan ada tugas yang lebih penting dari itu...). Justeru itu, setiap dari kita wajib berdakwah bukan sahaja kepada non-muslim tetapi kepada orang Islam sendiri.
Bukankah berdakwah itu satu kewajipan dan metod berdakwah itu sendiri tidak semestinya dalam bentuk ceramah. Berdakwahlah melalui akhlak kita, melalui penulisan jika kita penulis, melalui selit-selitan nasihat ketika mesyuarat baru hendak bermula jika kita ahli korporat, berdakwahlah kepada pesakit tentang hikmah kesakitan dan makna tawakkal seandainya kita doktor, berdakwahlah dengan hujah-hujah yang mendokong keadilan, kerana menegakkan kebenaran, sekiranya kita peguam.
Bukan apa, sedih seandainya kita menang dalam kes Lina Joy tapi kita kalah dalam merebut jiwa-jiwa penganut Islam yang kian longgar akidahnya. Sesungguhnya, jika ada antara kita giat berusaha dalam MLM ( multi level marketing ) untuk mengumpul down line2, maka boleh juga kita giat berdakwah secara tidak langsung, mana tahu banyak pahala-pahala terkumpul yang bakal kita usung ke akhirat kelak.
Sesungguhnya keimanan itu terlalu manis buahnya. Hanya mereka yang pernah merasainya akan tahu menghargainya dan akan terus mempertahankannya dengan sepenuh jiwa. Bak kata Raihan, ' iman itu mutiara'...dan 'iman itu tak dapat dijual beli'.
* Masih banyak yang Dina perlu lakukan demi merebut cinta Ilahi.
Salam Sayang,
Dina Najat
 
posted by Miss Nukleas
Permalink ¤ 0 comments
,9:44 AM
Aduuhhhhh.....Sakitnya Bergelut Dengan Artikel Ilmiah
Andaikata selama ini kita bermain pena dan kertas, namun tiba-tiba kita ingin menarikan berus lukisan di atas permukaan kanvas, sudah pastinya memerlukan masa yang panjang untuk mendidik jari jemari.
Begitu juga Dina. Hampir bertahun meninggalkan bidang ilmiah, menyangkut jubah peguam dan menutup ruang minda terhadap kes-kes pembeli-pemaju perumahan, kini terpaksa mengeledah akta, mencari hujah-hujah menyokong tajuk artikel, menemubual pegawai bank serta meneroka segenap sudut ruang internet yang boleh menaikkan lagi seri artikel Dina, maka tempoh 7 hari yang diberikan begitu memeritkan.
Esok adalah tarikh akhir. Sebelum pukul lima, artikel harus difakskan kepada pihak majalah. Terima kasih kepada IA ( kerana mempercayai Dina ) melakukan tugas bidan terjun apabila penulis asal me'lepas'kan bebanan ini. Dina bukanlah orang yang selayaknya menulis artikel ini, namun atas kepercayaan yang IA beri, Dina cuba melaksanakannya sebaik mungkin. ( Perlu jaga reputasi sebagai penulis kan?? )
Dalam pada menyelesaikan tugasan ini, sempat juga Dina mengunjungi blog 'bloggers' lain. Tinjau-tinjau rumah Ombak Senja ( apa ada pada nama! ), sempat juga Dina membelek novel2 di rak buku milik carrie, singgah sebentar di rumah mamaErra melihat mama menjahit manik2, beberapa kali melepak di 'ruang & waktu' mendengar degupan jiwa bernada sendu, ( tq Azeel, boleh juga Dina pelajari ayat2 melankolik dari Azeel ) serta melayari laman Kaki Novel. Akhir sekali, terpaksa jua Dina berpatah balik pada dokumen Dina, artikel ilmiah yang menuntut kesudahan dan rumusannya.]
Barangkali, dalam menerima sesuatu tugasan kita patut mengukur baju di badan sendiri. Mengukur masa kita, tenaga dan kemampuan bahan rujukan, semestinya. Humm... Juga diharapkan atas usaha-usaha Dina yang kecil serta terbatas, InsyaAllah mudah-mudahan cubaan pertama ini tidak akan mengecewakan. Entahlah,...samada artikel ini bakal diluluskan atau tidak oleh pihak majalah, Dina pasrah. Apa-apa pun, terima kasih buat IA kerana menerjunkan Dina dalam cabang penulisan yang lain.
* Sesungguhnya menulis novel lebih memberi kepuasan yang sukar untuk diungkapkan!
 
posted by Miss Nukleas
Permalink ¤ 0 comments
Monday, June 04, 2007,8:42 PM
'Sajakku'
Ini pula sajak pertama Dina. Sebenarnya Dina tidak sangka dulu Dina agak 'jiwang' juga, walaupun hakikatnya sekarang ini Dina bukan seorang sentimental. Ketika sajak itu dikarang, Dina dalam darjah enam di Sek. Keb. Bandar. Tinggi Batu Pahat, Johor.Sajak ini lebih kepada luahan perasaan. Dina tidak ingat apa yang membuatkan Dina syahdu pada masa itu, tapi yang pastinya Dina ingat lagi, Dina teringin buat sajak yang bertajuk 'Sajakku' ( ala...nampak tajuknya macam unik gitu, sajak 'Sajakku'). Maka terimalah sajak zaman budak-budak dari Dina,

Sajakku,
Dengan sebatang pena dan selembar kertas,
Aku mencarik apa yang tersirat di hatiku,
Mengikut desak suara hatiku.
Sajakku,
Di persisiran pantai kau kucipta,
Setelah segala pengalaman suka duka,
Kuhimpun dan kusatukan,
Namun apa yang kudapat?
Hanya sebuah cacian hina,
Memaksaku senyum di sebalik duka.
Salam Sayang,
Dina Najat
 
posted by Miss Nukleas
Permalink ¤ 0 comments
Saturday, June 02, 2007,4:58 AM
Hari-Hari Akhir Seorang Wanita Tua ........
Bila terkenangkan kisah Nek Dah, hati Dina dihambat pilu, terkilan dan bermacam rencah rasa. Dina bukanlah rapat dengan wanita berusia enam puluh tahun itu, tapi Dina kenal dia dan tahu kesusahannya.

Begini ceritanya, Nek Dah tinggal berdekatan dengan rumah kawan baik Dina. Nek Dah hanya ada seorang anak lelaki yang berusia lebih kurang tiga puluh tahun. Apa yang Dina faham, Nek Dah sudah lama berpisah dengan bekas suami.

Anak bujang Nek Dah itulah pengubat hati Nek Dah. Dialah intan, dialah payung. Nek Dah sangat sayangkan anak bujangnya yang dipanggil Ayub. Namun, sayang macam mana seorang ibu pun, si ibu harus memberi laluan untuk si anak mendapat kasih sayang dari seorang perempuan yang bergelar isteri.

Dipendekkan cerita, Ayub kahwin dengan kekasihnya dan Nek Dah gembira benar bermenantukan perempuan itu. Pada permulaan perkahwinan, Ayub dan isterinya tinggal bersama Nek Dah. Dina ingat lagi, bagaimana Nek Dah bercerita pada mak Dina tentang menantunya. Bagi Nek Dah, menantunya seorang yang rajin, baik budi bahasa dan pembersih. Tentu Nek Dah rasa lapang hati sebab mempunyai menantu yang boleh diharap.

Namun, langit tak selalu cerah. Apabila menantu Nek Dah berbadan dua, timbul bermacam masalah. Menantu Nek dah mula tunjuk perangai. ( Itu mengikut kata Nek Dah, apa yang berlaku sebenarnya kita tak tahu kecuali mendengar dari kedua belah pihak...). Sampai satu tahap, menantu Nek Dah memberi kata dua, sama ada suaminya akan tinggal bersama dengan ibunya atau mengikut dirinya tinggal di rumah orang tua isterinya.

Mungkin Ayub terlalu sayangkan isteri, atau mungkin juga iman di dada Ayub tidak setebal mana kerana sanggup meninggalkan seorang ibu tua demi mengikutkan isteri tercinta. Entahlah, Dina tak faham bagaimana cara Ayub berfikir, sedangkan apabila Ayub menurut kehendak isterinya bermakna, 'ibunya sudah tak ada sesiapa lagi yang hendak diharapkan'.

Tinggallah Nek Dah keseorangan. Sakit pening pun yang membantu jiran-jiran sekeliling, tapi fikirlah berapa sangat yang serius membantu dan berhati seperti malaikat. Tidak ramai. Sehari dua bolehlah, tapi bila menjangkau bertahun lama, jiran-jiran pun sudah tidak ambil peduli.
Apa yang Dina tahu, anak lelakinya akan pulang jika ada hal tertentu, yang pastinya meminta duit dari ibunya kerana kesempitan wang. ( Sepatutnya anak beri ibu duit! Ini sudah terbalik..).

Suatu hari, Dina datang ke rumah Nek Dah bersama mak Dina dan kawan baik Dina yang tinggal tidak jauh dari rumah Nek Dah. Ketika itu bulan puasa. Dina datang waktu tengahari. Ketika mak Dina berbual dengan Nek Dah, Dina masuk ke dapur Nek Dah. Dina bukanlah rapat sangat dengan Nek Dah, jadi agak pelik bukan kenapa Dina berani masuk ke dapur Nek Dah?

Mari Dina ceritakan. Sebenarnya sudah seminggu lebih Nek Dah tak boleh jalan, kakinya membengkak teruk. Nek Dah akan mengesot setiap kali hendak pergi ke bilik air atau dapur. Anak Nek Dah pun jarang-jarang datang. ( Anak Nek Dah bukan boleh diharap pun, menyusahkan emaknya adalah....) Jadi, Dina ingin tahu sangat, macam mana Nek Dah masak? Siapa yang belikan lauk untuk buka puasa dan sahur? Nek Dah makan apa hari ini?

Rumah Nek Dah tidak sebesar mana. Kecil. Lebih kurang empat ratus kaki persegi. Dina apalagi, masuk dapur dan tengok almari dan periuk Nek Dah. Kosong, tak ada apa-apa. Hanya ada nasi yang sudah keras dalam periuk di atas dapur. Nasi yang dah jadi kerak. Lauk atau biskut tiada langsung. Sedikit serbuk kunyit, botol kicap yang dah nak habis adalah.

Tak sampai hati melihat keadaan Nek Dah, Dina pergi ke kedai dan belilah apa yang patut. Dina ingat lagi apa yang Dina beli. Biskut, susu tin, tepung cucur adabi, milo, serbuk teh, tepung,telur, sardin, minyak dan roti. Tapi sebaik sahaja Dina sampai di hadapan rumah Nek Dah, anak Nek Dah ( Ayub) sedang berada dalam rumah Nek Dah. Mak Dina dan kawan Dina menasihati Dina agar jangan memberi bungkusan makanan itu kepada Nek Dah sekarang kerana jika tidak, anaknya yang akan ambil barang-barang itu.

Kawan Dina dan orang sekeliling faham dengan sikap Ayub ( tapi tak siapa berani nak membela Nek Dah dan menegur Ayub,...entahlah! Agaknya orang ramai anggap ini masalah anak beranak. Walaupun akibatnya hidup seorang tua yang tidak berdaya menderita)

Nak jadi cerita, Ayub tak keluar-keluar juga dari rumah Nek Dah. Ayub masuk ke dapur. Lama dia di situ. Akhirnya kami pulang dan bungkusan itu Dina berikan kepada satu keluarga susah yang tidak jauh dari rumah Nek Dah.

Sejak hari itu, Dina tak jenguk Nek Dah. Sesekali ada juga Dina terfikirkan keadaan Nek Dah, fikir apa yang orang tua itu makan bila tiba masa berbuka. Dina agak, tentunya Nek Dah dalam keadaan yang sengsara. Entahlah...Dina pun sudah balik KL, dan Nek Dah masa itu di rumahnya, di Johor.
Namun sesuatu yang tak terduga berlaku. Tak sampai sebulan, ( masa orang sibuk berhari raya ) Dina dikejutkan berita kematian Nek Dah. Nek Dah sudah kembali ke alam barzakh.

Tapi yang menyedihkan Dina, hampir empat hari Nek Dah mati di dalam rumah, baru jiran-jiran sebelah sedar. Itu pun kerana budak-budak yang bermain di hadapan rumah Nek Dah mengadu tercium bau busuk. Kasihan Nek Dah, riwayat hidupnya berakhir dengan penderitaan. Anak yang disayang selama hayatnya menjadi duri yang mencucuk di dalam daging tatkala Nek dah sudah tidak berdaya dan tidak berupaya. Malangnya nasib seorang ibu yang melahirkan....kejam,....anak itu sungguh kejam. Tidak ada belas kasihan langsung. Tergamak melihat ibunya hidup dalam keadaan daif, sakit dan terkontang-kanting sedangkan dia wajib menjaga ibunya.

Anak seperti ini, hanya Tuhan yang akan membalas dosanya!

Inilah antara cebisan kisah masyarakat yang terjadi dan dapat Dina kongsi bersama anda. Persoalannya, bagaimana perkara seperti ini boleh berlaku di dalam masyarakat Melayu yang menjunjung adat budaya, dan mengakui Islam sebagai agamanya? Siapa kah yang silap? Silap si ibu yang mendidik sampai anak bersikap sebegitu kejam? Atau silap anak yang tak terdidik dengan sempurna? Tepuk dada, buka minda......
Al Fatihah Untuk Arwah Nek Dah.....
( Dina suka rujuk cara Luqman AL Hakim mendidik anak. )
 
posted by Miss Nukleas
Permalink ¤ 2 comments