Sunday, January 28, 2007,8:51 PM
d . i .a . l. o. g
RINA SI BIDADARI KECIL

“ Duduklah dengan Rina, dengan Papa Rina. Kan best. Kak Diyan tidur sini ,Rina tidur tengah, Papa tidur sini. Kan best?”
Hish…apa si Rina ni melalut ? Takutnya aku dengar. Ah, dia bukan tahu apa yang diperkatakannya. Budak kecil cuma mengharapkan kasih sayang dan perhatian daripada orang-orang yang disayanginya. Dan buat masa ini, aku termasuk dalam carta teratas orang yang Rina sayangi.
“ Tak bolehlah nak dua-dua, Rina. Hari ni, tidur dengan Kak Diyan. Esok, tidur dengan Papa.”
“ Tak nak, nak dua-dualah. Kak Diyan tidur dekat sini, Papa tidur dekat sini.”
“ Eeeii tamaklah Rina ni. Nah, biar Kak Diyan cubit sikit hidung dia.”
“ Aaaaa…annuh nakitlah! Aaaa..nolong nakit..nak niyan,” Tersenyum Diyan tatkala mendengar suara sengau Rina lantas dia melepaskan ibu jari dan jari telunjuknya yang sebentar tadi melekat di hidung si comel itu. Terasa bahagia pula di saat-saat begini. Mendengar gelak tawa yang berlagu di bibir Rina sedikit sebanyak dapat meleraikan kedukaan yang mencengkam sanubari Diyan.



JEJAKA YANG HIDUP DIULIT DENDAM

“ Roy!! Kau jangan buat gila, nak. Jangan Roy!! Kalau nak duit, Mama bagi. Jangan ambil gelang Mama!!” Datin Najwa bertempik marah, namun masih tidak mampu bergerak walau seinci.
“ Huh…kedekut sangat. Ingat, kalau Mama ceritakan pada sesiapa terutama Bang Man, Roy tak akan balik ke rumah ni lagi.” Roy berjalan pantas, keluar dari rumahnya. Duit dan barang kemas mamanya disimpan rapi di dalam jaket kulitnya yang berwarna hitam. Sewaktu dia melintasi ruang makan, Bik Ju sedang minum air dan menelan ubat. Hairan Bik Ju melihatkan gerak geri Roy yang kelihatannya serius dan tidak banyak cakap.
“ Ngapa Roy? Mau makan, Bik Ju siapkan. Gaduh sama Mama, ya?” Bik Ju memberanikan diri untuk bertanya.
“ Hei…kau kalau tak masuk campur urusan orang lain, boleh tak ? Jaga dapur tu baik-baik sebelum aku bakar engkau dengan api dapur!” Roy menudingkan jari telunjuknya ke muka Bik Ju yang terkejut dengan kata-katanya. Bik Ju yang bagai terpukau, hanya mampu menganggukkan kepala.
“ Iya…ya..ya..”



DOKTOR RIEZMAN, LELAKI YANG MENYANJUNG TINGGI WANITA KINI DIBELENGGU DILEMA

“ Rasanya, tak perlulah awak cari rumah lain. Buat masa ni, rumah ini pun kosong. Tapi, kalau awak anggap saya ni menyekat kebebasan awak, terserahlah. Mungkin saya ni penyibuk..tak tahu bahasa, nak kongkong awak, entahlah,” Doktor Riezman tidak meneruskan bicaranya. Dia tidak mahu merendah-rendahkan dirinya namun dalam masa yang sama, dia tidak tahan melihat keakraban Diyan dengan lelaki yang ditemuinya semalam.
“ Saya tak pernah anggap awak begitu,” Diyan menggelengkan kepalanya lalu meletakkan tas tangan ke atas meja.
“ Ya, mungkin tidak tapi, saya …ahh…tak apalah. Saya pulang dulu,” Doktor Riezman mengambil kunci kereta di atas meja kopi.
“ Nanti dulu,” tahan Diyan sambil merenung seraut wajah Doktor Riezman seakan meminta satu pengertian. “ Saya tak anggap awak mengongkong saya. Cuma saya tak sangka, orang yang saya anggap baik dan suka membantu tanpa mengira darjat, sanggup menuduh saya melakukan perbuatan terkutuk, menggadaikan maruah diri sehingga tergamak menuduh saya menjadikan Roy sebagai mangsa? Siapa mangsa yang sebenarnya, tuan doktor? Saya atau Roy?”
Nafas Diyan mula naik dan turun. Doktor Riezman dapat melihat urat-urat halus yang mula memerah di dalam mata Diyan. Menangiskah dia?
“ Diyan…” Doktor Riezman bersuara perlahan. Bagai mahu memujuk. Menenangkan.
 
posted by Miss Nukleas
Permalink ¤ 0 comments
,8:45 PM




Cinta itu lukisan di jiwa,
Tiada berwarna dapat di rasa,
Walau dibuai gembira, kecewa,

Janganlah sampai membilang dosa.’
 
posted by Miss Nukleas
Permalink ¤ 0 comments
,8:36 PM
'CINTA LUKISAN JIWA' BAKAL BERADA DI PASARAN.

Diyan sudah bosan dipandang rendah oleh orang kampung. Benteng kesabarannya kian rapuh tatkala cinta Effendi semakin jauh. Apatah lagi keputusan STPM tidak membanggakan. Sakit di badan usah di kira, sakit lagi di hati apabila impian berkecai akibat dengki manusia.

Nekad mahu mengubah nasib diri, bumi K.L dijejaki. Tidak terduga olehnya, penghijrahan itu membawanya ke banglo mewah milik Datin Najwa Atilah, chef masakan yang terkenal di Malaysia. Di situ juga dia terpaksa ‘berkenalan’ dengan penghuni-penghuni banglo itu. Antaranya, Roy si pelumba motor haram yang licik, dan Nadia peguam muda yang memandangnya hanya sebelah mata. Semua ini membuatkan Diyan lemas!

Tetapi kehadiran Sabrina Binti Riezman benar-benar menyerikan hidup Diyan. Si kecil yang buta itu bagai mengembalikan semula nostalgia silamnya.
Diyan-“Rina tak ubah seperti aku ketika kecil, kami tandus kasih seorang bonda bezanya aku tidak buta. Tapi Rina buta kedua belah mata.”

Rupa-rupanya, diri Diyan diperhatikan oleh seseorang. Ikrar Doktor Riezman yang juga ayah Rina seakan luntur tatkala berhadapan dengan Diyan. Kepercayaannya kepada wanita yang telah goyah cuba dibangunkan semula, namun curiganya mengatasi rasa cinta.
Doktor Riezman-“Mencintai Emylda merupakan satu kesilapan dan mencintai Diyan pula bagai mengulangi kesilapan yang sama. Diyan~Emylda= Tiada beza.”

Benarkah Diyan sama seperti Emylda, bekas isteri Doktor Riezman yang telah berlaku curang? Jika benar, mengapa Fadhil dan Doktor Riezman, dua orang lelaki yang sama hebat dan kuat semangat berusaha memburu cintanya? Rupa Diyankah, atau peribadinya? Atau mungkin hatinya yang masih putih dan belum ternoda dengan hipokrasi dunia? Hipokrasi dunia?! Hmm…. ‘Cinta Lukisan Jiwa’ ada jawapannya.
 
posted by Miss Nukleas
Permalink ¤ 0 comments
Sunday, January 07, 2007,6:14 PM
Ilham Menulis satu kurniaan Tuhan~ Hanya Dia Tempat kita Memanjatkan Kesyukuran.
Assalamulaikum WBt.

Jumpa lagi kali ini dalam Dunia Dina Najat. Seminggu lebih Dina menumpukan perhatian kepada karya terbaru, terasa hati ini bagai dicuit-cuit untuk menulis sesuatu. Apa yang pasti, keadaan sekeliling dan peristiwa yang berlaku di sekeliling menjadi bumbu artikel kali ini.

Sesungguhnya, Dina tidak pernah menyangka akan melibatkan diri dalam bidang penulisan. Namun atas cadangan seorang sepupu serta dorongan suami, Dina mula menulis novel pertama Dina, iaitu Takdir Cinta. Saat itu, suami Dina membayangkan Dina akan menghasilkan sebuah cerpen namun tak sangka pula terhasil sebuah novel yang agak tebal.

Bak kata orang, pejam celik, pejam celik InsyaAllah, kini novel kedua Dina pula akan berada di pasaran. Dan Allah S.W.T dengan sifat Maha Pengasih dan Penyayangnya telah memberi ilham kepada Dina untuk menghasilkan novel ketiga serta beberapa lagi produk penulisan kreatif yang lain.

MasyaAllah.

Maha Besar sekali Tuhan kita yang Maha Esa. Dina percaya bakat, ilham dan minat dalam penulisan juga dinamakan rezeki. Rezeki datang dalam pelbagai sudut, pelbagai bentuk. Samada harta, kesihatan, ilmu, anak dan sebagainya. Dan apa lagi yang dapat Dina nyatakan, hanya rasa syukur dipanjatkan kepada Yang Esa di atas limpah dan rahmat Nya itu.

Kadang kala Allah S.W.T mendatangkan kepada kita ujian. Sama ada kesenangan atau kesusahan. Namun jika diukur antara keduanya, Dina merasakan ujian ketika senang lebih mencabar. Di saat diri dibuai kemewahan, di kelilingi pujian atau apa yang diimpikan menjadi kenyataan, saat itulah iman kita diuji. Sama ada kita akan mendabik dada, mengatakan akulah yang itu...akulah yang ini, dan berasa diri yang terhebat antara yang lain.

Namun, iman akan terbukti masih kukuh dan ampuh seandainya kita meletakkan pujian itu kepada yang berhak, Subhanallah!

Bagi Dina, jadilah seperti padi, makin tunduk makin berisi. Hindarilah sikap lalang, bukan sahaja hidup tiada pendirian, ke kiri kemudian ke kanan, malah berdiri tegak dengan bongkak.

Tiada apa yang perlu dimegahkan dengan bakat, tetapi terlalu banyak yang hendak disyukurkan. Gunakanlah bakat untuk kebaikan bangsa dan agama.

Wallahualam.

 
posted by Miss Nukleas
Permalink ¤ 0 comments