Suatu hari di bulan Januari, Dina dan anak Dina berhajat nak naik komuter lepas tu tukar naik LRT, hajat hati nak pergi Mid Valley, tau-tau terlajak pergi KLCC. Kereta kami parkir di kawasan komuter dekat Bangi.
Alkisah nak jadi cerita, oh sebelum itu kisah kali ini menyentuh kisah adat dan budi bahasa kaum kita. ( sebelum Dina lupa...). Bila masuk dalam LRT yang tiba, semua tempat duduk penuh, berhimpit-himpit segala macam manusia, tak kira bangsa tak kira lelaki ke kaum hawa semua nak masuk selagi ruang masih ada.
Kasihan Dina lihat anak Dina yang baru empat tahun usianya. Menangis merengek nak duduk tapi tempat tak ada. Semua yang duduk di situ, ada lelaki yang dah remaja, ada yang dah akhir dewasa dan badan tu tegap-tegap saja. Ada juga gadis-gadis manis yang lebih rela menonton kisah budak merayu dengan seorang ibu...' Umi, nak duduk mi...' sampai kering airmata anak Dina tapi gadis manis lebih fikirkan tentang; ok tak baju aku hari ini, atau minyak wangi aku ni berbau tak dari tadi? Sampai tak ada seorang yang mempersilakan seorang anak kecil mengambil tempatnya kerana mungkin takut dianggap cuba menunjukkan amalan mulia atau takut dikata,
'Amboi...baiknya dia, bangun bagi tempat duduk.' Atau mungkin dalam sesetengah hati ada yang terdetik, 'Buat apa aku nak bangun, orang sebelah tu buat selamba, sedangkan dia dah lama duduk dari mula aku tiba'.Atau mungkin juga ada yang berdoa, 'Mintak-mintak orang depan tu bagi tempat, bukan apa, dia tu aku tengok sihat, tak macam aku dari semalam tak dapat rehat'.Atau dalam masyarakat kali ini, 'buat baik malu sekali, tak ubah macam watak anak lelaki mithali si Adam Sandler dalam cerita Waterboy...malu nanti'.
Entah ler..Lebih sepuluh minit, anak Dina merengek, Dina pun simpati sebab budak empat tahun, berdiri dalam keretapi, badan asyik melayang ke kanan ke kiri, lagi pulak kurus macam lidi. Hati Dina hiba sekali.
Melihatkan sikap masyarakat yang kebanyakannya mengaku Islam sebagai agama dan Rasulullah sebagai nabi, Dina rasa sedih. Dengan agak kuat Dina bersuara, " Anak Umi, nanti kalau anak Umi besar, kalau ada budak nangis nak tempat duduk, anak umi bagi tau."
Sejurus itu, tiba-tiba bangun seorang lelaki. Menawarkan tempat duduknya untuk si kecil ini. Anak Dina cakap, tima kasih atok, dan lelaki itu tersenyum dan mengangguk. Anak Dina pun duduk, tapi Dina terus berdiri di sebelah lelaki yang anak Dina panggil atok.
Lewat 2 stesyen sebelum lelaki itu keluar dari gerabak, sempat Dina ucapkan terima kasih banyak-banyak. Lelaki itu keluar dan Dina jadi sebak. Dia seorang lelaki India tua bertongkat kayu selit celah ketiak. Dina perhatikan lambat sungguh kaki 'uncle' itu bergerak. Dan dalam hati Dina bersuara, ' kau memiliki akhlak seorang Islam yang mana akhlak itu semakin tandus dalam diri orang yang beragama Islam'.
Lepas itu Dina malu nak menatap wajah-wajah yang ada dalam gerabak itu. Bukan malu dengan diri sendiri, ( pakaian Dina tak nampak hebat mana pun, dan tak pula selekeh kalau diukur dari segi penampilanlah...) Dina tapi malu dengan cermin akhlak mereka yang semakin retak.
Namun bukan setiap kali naik LRT peristiwa macam ini berulang lagi, adalah dua tiga kali ( yang Dina cerita ini paling teruk)tapi selalunya pelancong yang bangun dulu dan bagi tempat duduknya pada anak Dina ini. Ada juga orang kita, tapi nisbahnya tak seberapa jika dikira dengan bilangan kaum yang ada. Tapi, sampai hari ini anak Dina suka sungguh naik LRT atau komuter. Jadi Dina akan membawanya naik LRT sambil membiarkannya melihat masyarakat dan mempelajari sesuatu dari pengalamannya sendiri bersama uminya.
Kesimpulannya dan persoalannya, mungkin kita patut teliti samada adakah akhlak kita mencerminkan agama yang kita anuti atau tidak? Atau mungkinkah kita ini Islam hanya kerana dilahirkan dan membesar dalam masyarakat yang menjadikan Islam hanya sebagai adat? Jika tidak, mengapa ramai yang tidak mempraktikkan akhlak yang disarankan oleh Islam?
*Dina: Nampaknya Dina kena banyak perbaiki diri....