Monday, December 25, 2006,3:56 AM
Dina Najat Sedang Bertapa!!
Nampaknya seminggu dua ini, Dina akan berehat seketika, demi menumpukan perhatian kepada novel yang bakal memasuki pasaran. Ada beberapa urusan yang perlu disiapkan, serta beberapa tuntutan kerja. Semoga lepas ini, ada sesuatu yang menarik dapat Dina berkongsi bersama anda. Jumpa lagi 2 minggu dari sekarang!
 
posted by Miss Nukleas
Permalink ¤ 0 comments
Friday, December 22, 2006,12:56 AM
Bidadari Kecil

Bidadari kecil berambut kerinting
Nampak anggun pabila berpusing
Sering tertawa tatkala ku berpaling
Kaulah satunya penghilang runsing.

Dari kecil kau ku tatang
Sepenuh jiwa cintaku terbilang
Bidadari kecil berhati walang
Dunia yang indah di matamu menghilang

Berdosakah ayah wahai bidadariku
Membiarkanmu menongkah waktu
Keseorangan tiada beribu
Menjadikan dikau seorang perindu.


Bidadariku besarlah segera
Ayah kan bina sebuah istana
Di situ kau, kan berjumpa bahagia
Kerna ayah menuju ke arahnya.

Bidadariku,… ayah berhutang
Sebuah kehidupan untukmu seorang
Ayah kelabu untuk menunaikannya sayang
Kerana cinta ayah telah dicurang

Jangan bersedih jangan berduka
Ada bahagia di depan kita
Ayah pasti ayah yakini
Cuma masanya tak tentu lagi.

Bidadariku…. si kecil manis
Senyumlah….jangan
menangis!

Karya,

Dina Najat

Istimewa untuk Sabrina Binti Riezman, si comel yang buta sejak berusia tiga tahun sembilan bulan setelah bertarung dengan demam panas. Anak kesayangan Doktor Riezman ini akan mewarnai watak gadis ceria namun seorang yang kesepian, dalam 'Cinta Lukisan Jiwa' yang bakal berada di pasaran dalam waktu terdekat.
 
posted by Miss Nukleas
Permalink ¤ 0 comments
Thursday, December 21, 2006,11:33 PM
Berterus Terang - Hipokrasi + Cara Yang Betul = Bahagia
Dina pernah tanya pada diri, berapa ramai antara kita telah makan hati? Dan kalau makan hati, berapa lama pula sanggup makan hati? Sehari dua atau selamanya?

Banyak perkara menyebabkan kita terpaksa makan hati. Antaranya kerana kerja, jadi nak tak nak perangai rakan sekerja atau sikap bos menyebabkan kita terpaksa memendam rasa dan terpaksa terima keadaan yang ada. Seakan sudah satu takdir dan kita berserah sahaja. Ada juga yang makan hati demi mempertahankan rumahtangga. Maka terpaksa bersabar dengan suami yang tidak tahu mengerti dan tak berusaha untuk memahami atau dengan keadaan hidup yang semakin menekan dari hari ke hari. Maklumlah, kalau berlaku sesuatu, mana nak letak muka? Dan paling tidak, sanggup ke hadapi hidup ini dengan kata-kata saudara mara dan keluarga, yang kadang kala menjadi hakim tak bertauliah dalam menentukan siapa betul siapa salah?

Adakala kita dihimpit perasaan sakit hati, geram, yang akhirnya membuat kita terpaksa menjeruk perasaan dan memendam rasa. Inilah yang dipanggil makan hati.

Entahlah, bagi Dina kalau diberi pilihan, Dina akan cuba elak dari makan hati....tapi Dina ni minat habis dengan hati ayam masak kicap. Haa..yang tu tak apa. Dina memang akan cuba elak sungguh-sungguh. Bagi Dina, hidup ini perlulah kita lalui dengan hati yang lapang, tenang dan bahagia.

Caranya...itu yang Dina tengah belajar. Bukankah setiap hari itu bagai membuka helaian buku yang baru? Dina akan terus belajar dan belajar tentang kehidupan. Tentang sekeping daging yang bernama hati. Tentang perasaan yang dikurniakan tuhan.

Ingin sekali Dina menjadi tabah, seperti tabahnya Dhiya dalam novel Cemburu Seorang Perempuan karya Siti Hasneza Abdul Hamid dan Dina pernah bertanya pada penulisnya, adakah wujud seorang perempuan setabah Dhiya? Katanya, ada. Dina terpana. Ada? Jadi bagaimana perempuan itu menzahirkan marahnya? Kata penulis itu lagi, perempuan itu jarang marah....kalau marah pun bukan kerana perbuatan orang lain terhadap dirinya. Kalau begitu, apa yang membuat dia marah? Katanya lagi, marahnya perempuan itu adalah kerana melihat sesuatu yang bukan haknya diletakkan ke atas sesuatu perkara. Ohh...begitu. Dan secara tidak langsung, Dina jadi faham. Dina yakin, agama dan nur hidayah mungkin menjadi sinar yang menerangi jiwa wanita itu. Itulah yang Dina cari-cari selama ini.

Juga, ingin sekali Dina menjadi seperti Syarifah Nuur Khalidah dalam Nyanyian Tanjung Sepi. dan buat Noor Suraya, ingin Dina bertanya, pemendamnya seorang Syarifah Nuur Khalidah sehingga jarang benar dia mengadu apa-apa yang mengguris hatinya. Apa rahsianya? Didikan uminyakah atau kekuatan jiwa? Tapi Nuur Khalidah selalu menangis. Dina berbaik sangka sahaja, bahawa mungkin Nuur Khalidah tidak mahu membuka kelemahan sesiapa dan menjadi sifatnya, tidak pandai mengadu masalah yang menimpa. Dina ingin jadi sepertinya,...kalau boleh. Insyaallah.

Akhirnya Dina berpendapat, makan hati, memendam rasa dapat Dina atasi dengan berterus terang jika kena caranya. Tapi tengok juga kesannya samada akan mengubah suasana menjadi baik, atau semakin buruk! Tengok juga orangnya siapa yang kita nak ajak berkira bicara. Namun, kalaulah dapat Dina belai jiwa ini dengan sifat sabar, faham erti mengapa Dina dihidupkan di muka bumi ini dan sedar betapa indahnya makna pengorbanan jika ini membawa kebaikan, sudah tentu makan hati mampu bertukar kepada senang hati.

Namun yang paling Dina benci adalah hipokrasi. Baik di depan, mengata dan memburukkan di belakang. Ini yang cuba Dina kikiskan dari jiwa. maklumlah, Dina bukan sempurna mana pun, jadi sepanjang melalui usia kehidupan ini dan kelak pada akhir usia, biarlah Dina menjadi insan yang suci hati . Selain berusaha mengubah rupa menjadi lebih cantik, membentukkan badan menjadi langsing dan menarik, alangkah hebatnya jika dapat cuci sental hati sampai putih bersih dan sang musuh manusia tak sanggup singgah lama-lama dan membisikkan suara kejahatan. Kerana saat itu hati telah diberi sinar dari oleh Tuhan.

p/s ....apa nak buat, kita punya hati dan perasaan. Sedih, gembira, kecewa, hiba, geram, ( tapi elak dendam!) semua itu menjadi lukisan di jiwa. Tiada warna...hanya rasa. Maka itu, pelajari cara hendak kemudikan sekeping daging itu dengan iman? Kerana itu kita perlu mencari Tuhan, dan Dina cemburu dengan wanita yang kuat imannya. Kerana Dina teringin jadi seperti itu. Oh Tuhan...berikanlah aku jalan.
 
posted by Miss Nukleas
Permalink ¤ 1 comments
Friday, December 15, 2006,11:46 PM
Novel ' Takdir Cinta' Karya Dina Najat
Suraya – “Ingin aku hadiahkan hatiku untukmu namun apa dayaku. Kemiskinan memaksa aku memperdagangkan sebuah kebebasan lantas ditelan ketentuan bahawa dialah teman hidupku. Jikalau ini dikatakan pengorbanan, aku rela…demi seorang ibu yang telah lama menderita!”

Zafran Amir – “Sejak minggu orientasi itu, kau tak mudah dilupa. Puas dibuang namamu jauh-jauh namun segalanya sia-sia. Sayangnya, fitnah dan dendam seakan meranap segala. Biarku lelah memperjuangkan cinta, namun melihat kau pergi dari hati, sesekali tidak!”

Razak – “Suraya, aku tak kenal erti kalah kerana itu aku takkan mengalah. Sejak kecil kau kukenali, sebelum lelaki itu hadir. Mana mungkin kau aku lepaskan setelah harta dan maruah aku pertaruhkan. Aku bukan Zafran Amir yang terlalu hebat di matamu. Tapi percayalah…tika dan waktu akan menjadi bukti betapa aku menyayangimu.”

Dua jiwa saling merindu, namun mampukah mereka bersatu?
 
posted by Miss Nukleas
Permalink ¤ 0 comments