Sewaktu Dina menerima berita tentang Puan Hafsah ini, Dina sungguh terharu dan kalau dulu-dulu pasti menitis airmata. Namun sejak beberapa tahun yang lalu, berita-berita sedih sebegini masih sukar untuk membuatkan airmata ini bergenang. Entahlah, sudah habis stok agaknya.
Hari ini cerita yang ingin Dina bawakan agak sedih - memang akan sedih bunyinya. Kisah seorang ibu yang mempunyai lapan orang cahayamata. Tambahan- seorang suami. Dina pernah bertemu dengan Puan Hafsah hampir tiga tahun yang lalu dan kalau tak silap Dina, semasa itu dia datang berhari raya ke rumah abang Dina. Kami bersalaman tapi tidak banyak berbual-bual. Dina leka memerhatikan anak-anak Puan Hafsah yang ramai dan comel-comel belaka.
Apa pandangan Dina pertama kali bertemunya? Pastinya Dina mengagumi ketelitian Puan Hafsah menyiapkan anak-anaknya yang ramai itu. Biarpun anaknya bukan sedikit tetapi semuanya berpakaian kemas dan menarik di pandang mata. Semua anak-anak Puan Hafsah sopan dan tahu menjaga tata tertib di rumah orang. Puan Hafsah pula, biarpun berbadan agak gempal tapi memiliki kecantikan asli yang tersendiri. Untung sungguh suaminya kerana mempunyai anak yang ramai dan isteri yang tahu menghias diri.
Itu dulu- dua tiga tahun dulu. Ketika itu anaknya yang kecil berumur satu tahun. Hampir tujuh bulan selepas pertemuan itu, Dina dikejutkan dengan berita Puan Hafsah menghidapi barah payudara. Seluruh keluarga kami terkejut apatah lagi kami diberitahu keadaannya agak membimbangkan. Apa yang terdetik di hati kami ketika itu, bagaimana Puan Hafsah hendak mengharungi semua ini, sedangkan dia baru melahirkan anak ke lapannya?!
Sejak hari itu, banyak berita tentang Puan Hafsah yang Dina dengari. Antaranya, dia kerap melalui kemoterapi jadi anaknya yang baru berusia empat atau lima bulan terpaksa dijaga oleh orang lain yang diupah secara bulanan dan anak-anak Puan Hafsah yang tujuh orang lagi tidak terurus lagi seperti dulu. Puan Hafsah juga dikatakan menghadapi tekanan perasaan lantaran sukar menerima hakikat yang menimpa dirinya serta rambut-rambutnya banyak gugur akibat rawatan kemoterapi yang diberikan.
Sebagai seorang wanita dan juga ibu, Dina amat bersimpati dengan nasib Puan Hafsah. Apatah lagi bila mengenangkan anak-anaknya yang ramai. Hati Dina berasa sayu dan kalau ada kuasa magik, mahu saja Dina 'sembuh'kan penyakit Puan Hafsah. Tapi, apa boleh buat. Hendak beri kata-kata semangat pun Dina tak mampu. Maklumlah Dina jauh, dan Dina bukanlah rapat dengan Puan Hafsah. Hanya doa dan kata-kata dorongan kepada keluarga rapat Puan Hafsah ( yang juga keluarga Dina) agar sabar menghadapi ujian yang menimpa Puan Hafsah.
Itu setahun yang lalu. Kini, setelah beberapa lama tidak mengikuti perkembangan Puan Hasfah, Dina dikejutkan dengan berita yang amat memilukan. Puan Hafsah bukan saja disahkan mengidap barah payudara malah barah tulang pula. Khabar yang diberikan doktor, barah itu sudah mula menular ke otak. Tergamam Dina tatkala mendengar cerita dari keluarga rapat Puan Hafsah. Kenapa begitu getir dugaan hidup yang menimpa Puan Hafsah? Ya Allah, berikanlah Puan Hafsah kekuatan untuk menempuhi semua ini. Sembuhkanlah Puan Hafsah biarpun doktor berkata ' tak ada harapan'. Tak ada yang mustahil melainkan dengan izinMu Ya Tuhan.
Bak kata pepatah, 'sudah jatuh ditimpa tangga' maka begitulah keadaan Puan Hafsah. Anak kecilnya dipelihara orang lain, manakala anak-anaknya yang seramai tujuh orang itu dijaga suaminya. Sayang sekali, atau mungkin suaminya juga menghadapi tekanan maka entah mengapa, si suami sukar menghadapi ujian Allah ini dengan tabah. Bolehkah dikatakan berapa kerat sahaja lelaki zaman ini yang tabah? Atau memang ditakdirkan ramai wanita dilahirkan kuat semangat?
Apa yang Dina maklum, suami Puan Hafsah bagai melarikan diri atau menggelakkan diri dari berjumpa Puan Hafsah selalu dan jarang memberi kasih sayang atau sokongan moral kepada isterinya. Suaminya cuba menggelakkan diri dari bertemu Puan Hafsah di hospital. Puan Hafsah merasakan dirinya tidak disayangi dan serta tak mendapat sokongan dari suami yang pernah berkongsi hidup dengannya sehingga melahirkan lapan orang cahayamata. Selama hampir dua puluh dua tahun melayari hidup berumahtangga, inilah dia pancaran kesetiaan dan kasih sayang yang sejujurnya dari suami.
Saat isteri terlantar bertarung dengan kanser payudara dan kanser tulang, semasa badan yang dulunya berisi sudah tinggal tulang, saat mata yang dulunya bersinar cantik dengan alis mata yang lentik kini sudah terperesok ke dalam, kasih sayang suami semakin hari semakin tenggelam.
Mungkin banyak alasan yang boleh diberikan si suami mengapa dirinya cuba menggelak dari bertemu isterinya di hospital. Mungkin katanya, tidak sanggup menghadapi kesedihan yang mencengkam jiwa tatkala melihat si isteri yang lemah dan tak berdaya serta sudah bertukar rupa, mungkin juga kerana sibuk menguruskan tujuh cahayamata apatah lagi dengan beban kerja. Tapi sayang seribu kali sayang, jikalau inilah dikatakan kasih suami, kasihnya terlalu dangkal, terlalu cetek. Tidak layak lelaki ini memiliki seorang isteri yang telah melahirkan lapan zuriatnya di muka bumi.
Samada dia majistret, lawyer atau doktor, dia tak layak memiliki isteri setabah Puan Hafsah ( yang sedang bertarung dengan dugaan hebat di dunia fana'). Pastinya Puan Hafsah lagi tertekan berbanding dirinya kerana saban hari mengira detik masa bila ajalnya akan tiba, juga memikirkan anak kecilnya yang tidak dapat dipeliharanya apatah lagi merindui gelak tawa 7 anak-anaknya yang lain yang sebahagiannya sedang meningkat remaja serta merindui kasih suami yang hanya ada satu sahaja di dalam dunia. Apatah lagi ibu kandung Puan Hafsah sedang sakit tua dan tak boleh melawatnya di hospital
Buat Puan Hafsah, biarpun dirimu tidak kukenali secara rapat, tapi doaku untukmu agar Ilahi memberikan laluan mudah untukmu ke syurgaNya - jika inilah takdirmu di akhir usia, dan seboleh -bolehnya aku berharap kau akan sihat, segar dan menjadi Puan Hafsah yang pernah aku temui tiga tahun yang lalu di Aidilfitri.
Kadang-kadang diri terasa lemah tapi perlu cepat bangkit kerana ada wajah ceria yang membuatkan kita terasa dunia ini lebih bermakna dengannya.....Thaqif Bin Nabil.
Kadang kala terasa diri tidak kuat tapi cepat-cepat memohon pertolongan-Nya kerana ada gelak ketawa yang menyebabkan semangat kita menjadi setinggi angkasa.....Mulhim Bin Nabil.
...